Memaparkan catatan dengan label KELAS ILMU MINGGUAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KELAS ILMU MINGGUAN. Papar semua catatan

Selasa, 17 Jun 2008

KELAS MINGGU KE EMPAT

RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM ALI ZAINAL ABIDIN
Nama : Ali
Gelaran : Zainul Abidin , As Sajjad
Panggilan : Abu Muhammad
Lahir : Sabtu, 15 Jamadiul Awwal, 36 Hijrah
Nama ayah : Hussin bin Ali
Nama ibu : Shah Banu (Shah Zanan) puteri Raja Yazdigard ke II, Farsi
Syahadah : Pada umur 58 tahun pada 21 Muharam, tahun 95 Hijrah
Tempoh Imamah : 34 tahun
Maqam : Jannatul Baqi, Madinah
Imam selepasnya : Imam Muhammad Al Baqir
Imam yang ke4 ialah Imam Ali bin Hussin a.s., ia juga terkenal dengan gelaran Zianal Abidin dan As Sajjad. Ibunya ialah Shah Banu puteri Raja Farsi. Semasa hayatnya, keilmuan, ibadah dan sifat-sifat mulia yang beliau miliki tiada tandingan sama sekali. Beliau juga terkenal dengan sifat pengasih dan suka membantu yang susah. Ramai orang datang dan menimba ilmu darinya. Doa-doa Imam yang terkumpul dalam kitab Syaifah Sajjadiah masih terpelihara hingga hari ini.
Imam akan keluar pada gelapan malam, dan akan memikul beg yang dipenuhi dengan wang dan adakalanya makanan dan kayu bakar, untuk dibahagikan kepada yang memerlukan. Ia akan mengetuk rumah-rumah orang susah dan memberi mereka apa yang ia miliki. Imam akan menutup wajahnya supaya ia tidak dikenali. Setelah kewafatannya, barulah orang-orang susah di Madinah tahu bahawa yang membantu mereka selama ini ialah Imam Ali Zainal Abidin.
Imam lebih gemar duduk dan makan bersama orang-orang susah, anak-anak yatim dan orang-orang cacat. Tingkah lakunya sentiasa menjadi contoh.

Setiap bulan ia akan mengumpulkan hamba sahayanya seraya berkata kepada mereka, ‘Apakah ada dikalangan kalian yang ingin menikah, aku akan menikahkannya dan jika ada dikalangan kalian yang ingin bebas, aku akan membebaskannya’.
Setiapkali orang datang untuk memohon bantuan darinya, Imam akan berkata ‘Selamat datang wahai yang akan membantuku mengumpul tabungan akhiratku’.
Imam terkenal dengan ibadahnya dan sentiasa mendirikan solat seribu rakaat pada tiap-tiap malam. Setiap kali mahu mendirikan solat, Imam akan mengeletar dan wajahnya bertukar pucat kerana takut kepada Allah. Imam juga dikenali sebagai ‘Zuth Thafanah’ itu orang yang memiliki lutut yang tebal. Gelaran ini diberikan kepada Imam kerana beliau begitu banyak sujud hingga kulit didahi, lutut dan tapak tangan menjadi tebal, hingga menyebabkan setiap enam bulan, Imam terpaksa mengikis kulit-kulit tebal yang mati itu. Banyaknya Imam bersujud menyebabkan beliau digelar sebagai As Sajjad iaitu yang banyak bersujud.
Setiap kali ia mengingati Allah dan keAgunganNya, Imam akan jatuh dan bersujud. Setiap kali beliau selesai berwudhuk untuk solat, beliau akan bersujud. Orang-orang pada zamannya mengatakan ‘kami tidak melihat seorang Quraish lebih baik darinya’.
Pernah seorang dari keluarga Imam menghina Imam, Imam mendengar kata-kata orang tersebut tanpa orang itu sedari. Selang berapa waktu, Imam pergi ke rumah orang tersebut, orang-orang yang berada di sana menyangkakan Imam akan membalas hinaan orang tersebut, tapi itu tidak berlaku, malah Imam membaca ayat Al Quran
“Mereka-mereka yang mengawal kemarahannya dan memaafkan yang lain, Allah adalah wali kepada mereka yang membuat baik” Ali Imran – 134.
Lalu Imam berkata kepadanya, ‘Wahai saudaraku, kau menyerangku dan mengatakan apa yang kau suka, jika apa yang kau katakan itu benar, moga-moga Allah mengampunkan aku, tetapi jika apa yang kau katakan itu salah, moga-moga Allah mengampunkan kau’.


USULUDIN
PELAJARAN 4 : SIFAT-SIFAT SALBIAH

Sifat-sifat salbiah adalah sifat-sifat yang mustahil bagi Allah dan tidak bakal akan ada pada Allah.

1. Murakkab : ertinya Allah bukan terbentuk dari bahagian baik secara
fikiran atau material.

2. Jism : Allah bukan dalam bentuk tubuh atau memiliki jisim,
malah Ia berada dimana-mana dan Ia Maha berkuasa dan
IlmuNya penuh dengan Hikmah lagi Bijaksana.

3. Makan : Allah tidak berada pada satu tempat malah Ia tidak
memiliki tempat, Ia berada di mana-mana.

4. Mutaj : Allah tidak memerlukan kepada apa pun, Ia terlepas dari
apa juga sebab dan sifat memerlukan.

5. Mar’ie : Allah tidak boleh dilihat, baik dalam dunia ini mahupun
di ahkirat nanti.

6. Mahal Tidak berlaku perubahan pada Zat Allah, Allah
Hawadith: menjangkau waktu dan tempat.

7. Sharik : Allah tidak memiliki pasangan dalam mentadbir Alam
ini.


SEJARAH

PELAJARAN 4

Wahyu Pertama
Apabila Nabi Muhammad mencapai usia 40 tahun, beliau telah dipilih dan diangkat oleh Allah SWT sebagai Rasul Nya. Pada suatu hari, ketika beliau sedang melakukan ibadah di gua Hira, beliau telah didatangi oleh Malaikat Jibrail a.s. membawa wahyu dari Allah lalu menegurnya: "Iqra! Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari gumpalan darah. Bacalah dengan nama Tuhan Mu Yang Maha Mulia. Dialah yang mengajarkan ilmu dengan ‘pena’nya. Dialah yang telah mengajarkan kepada manusia akan segala yang tidak diketahuinya."
Semenjak itu, Muhammad telah membawa risalah Allah sebagai Rasulullah SAW untuk umat manusia di seluruh dunia. Di awal kenabiannya, Rasulullah berdakwah secara senyap-senyap. Pada ketika itu, hanya beberapa orang sahaja yang mahu menerima Islam. Orang pertama yang mengakui Muhammad sebagai Rasulullah SAW ialah isterinya Khadijah, kemudian disusuli oleh sepupunya, Ali bin Abi Thalib.
Tiga tahun lamanya Islam terus menyebar di kalangan rakyat miskin kota Mekah. Setelah itu, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk melakukan dakwahnya secara terang-terangan, dengan mengajak manusia menyembah Tuhan Yang Esa dan bermulah perang suci melawan para penyembah berhala.

Tugas dakwah beliau penuh dengan risiko dan bahaya. Ini adalah kerana para pemimpin kabilah ketika itu telah sekian lama menikmati kedudukannya dan menjadikan orang-orang sebagai hamba abdinya. Mereka bimbang dengan dakwah Rasulullah SAW itu akan mengoyangkan kekuasaan mereka. Dakwah beliau juga menemui banyak kesulitan kerana berhala-berhala itu telah sekian lama menjadi penyembahan mereka.

Rasulullah SAW tidak sama sekali bertolak ansur dalam urusan ini. Beliau memikul tugas ini dengan penuh tanggungjawab bagi tujuan mengEsakan Allah dan menegakkan Tauhid.

Oleh kerana itu, masyarakat yang sebelum ini menghormati beliau sudah mula membenci dan memusuhinya serta hartanya..Permusuhan mereka berlanjutan dengan penyiksaan dan merosakkan harta benda milik Nabi SAW. Namun begitu, usaha-usaha mereka itu tidak berhasil dan terus menemui kegagalan untuk menahan dakwah suci beliau.

Kaum kafir Makkah tidak pernah letih untuk mengubah pendirian Rasulullah SAW. Mereka meningkatkan permusuhannya dengan mengusir beliau beserta keluarga dan sahabatnya keluar dari Mekah dengan mengurung mereka di ladang Abu Thalib. Didalam pengurungan, kaum kafir memperketatkan sekatan sehingga tiada makanan dan minumanpun dapat ditembusI kedalamnya sehingga menyebabkan ada diantara mereka mati kebuluran. Ada pengikut Nabi yang diluar telah mempertaruhkan nyawa mereka dengan menyeludupkan makanan pada waktu malam.

Waktu berlalu, kaum kafir telah tewas dengan keteguhan dan kegigihan yang ditunjukkan oleh kaum muslimin. Akhirnya mereka memutuskan untuk membunuh Rasulullah SAW.
Bookmark and Share

KELAS MINGGU KETIGA

RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM HUSSIN A.S.
Nama – Hussin
Gelaran – Syahid
Panggilan – Abu Abdillah
Lahir – Selasa, 3 Syaaban, tahun 4 Hijrah
Nama Ayah – Imam Ali Bin Abi Talib
Nama Ibu – Fatimah Az Zahra binti Rasulullah
Syahdah – pada umur 57 tahun, 10 Muharam , tahun 61 hijrah
Tempoh Imamah – 11 tahun
Maqam – Karbala, Iraq
Imam selepasnya – Imam Ali Zaianl Abidin
Imam Hussin ialah Imam yang ketiga selepas ayahnya Imam Ali as. dan abangnya Imam Hassan as. Dan selepasnya ada 9 orang Imam dari keturunannya.
Imam dilahirkan di Madinah, tiga tahun selepas Hijrah. Ia syahid pada tahun 61 Hijrah di Karbala dalam keadaan teraniaya dan kehausan. Ia dikebumikan di Karbala di mana maqamnya menjadi tumpuan penziarah pada sepanjang zaman.
Keutamaan Imam tidak terhitung banyaknya. Ia adalah ‘Bunga Rasulullah’ sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah “puteraku Hassan dan Hussin adalah bunga-bungaku di dunia ini’ Rasulullah menambah lagi “Hussin dariku dan Aku dari Hussin”. Ia juga bersabda “Hassan dan Hussin adalah Imam, baik ketika mereka berdiri atau duduk’.
Imam memiliki akhlak yang terpuji dan banyak beribadah kepada Allah. Sebagaimana ayahnya, Imam biasa mendirikan solat malam sebanyak seribu rakaat.
Imam biasa memenuhkan guni dengan makanan dan memikulnya untuk diberikan kepada yang memerlukan. Ia adalah orang yang amat pemurah dan lunak kepada orang lain tetapi Imam tidak sekali-kali berkompromi dengan orang yang melanggar hukum Allah.
Sebagai contoh akan sifat kedermawan Imam, adalah ketika datang seorang arab kepadanya untuk memohon bantuan Imam untuk menyelesaikan masalahnya, orang Arab tersebut ketika bertemu Imam, langsung membaca sebuah syair.“Tiada siapa yang akan pulang kosong setelah mengetuk rumahmu dengan harapan dan simpati, kau adalah pemurah yang boleh diandalkan, ayahmu adalah penebas para kufar, jika tidak apa yang kami terima dari datukmu, pasti kami akan dibakar ke dalam api neraka”
Ketika Imam Hussin mendengar syair tersebut, ia memberikan orang Arab itu empat ribu dinnar dan berkata “Maafkan kami kerana hanya dapat membantu kamu dengan jumlah itu, jikalah baitul mal berada ditangan kami pasti kami akan memberikan lebih dari itu tetapi waktu telah mengkianati kami dan hanya sedikit yang ada ditangan”.
Agama Islam yang dibawa oleh datuknya Rasulullah saaw diselamatkan oleh keberanian dan pengorbananya. Malah dengannya Islam dapat berlangsung hingga kini. Adalah tepat gelarannya adalah Sayidul Syuhada iaitu pemimpin para syuhada.
Soalan:-
1. Kisahkan peristiwa kelahiran Imam Hussin a.s.
2. Kisahkan satu peristiwa sedih ketika Imam Hussin masih kecil ketika dengan Rasulullah
3. Apakah nama lain untuk Karbala?
4. Nyatakan nama-nama putera Imam Hassan dan Imam Hussin di Karbala dan nama sebenar Ali Asgar.
5. Sebutkan 5 nama wanita yang hadir dalam peristiwa Karbala.

USULUDIN

PELAJARAN 3 : SIFAT-SIFAT SUBUTIYAH

Sifat-sifat SUBUTIYAH ialah sifat yang ada pada Allah, dan antara sifat-sifat Allah adalah sebagaimana yang berikut:-

1. QADIM ertinya Allah itu Abadi, tiada awal dan akhir untukNya. Ia ada sebelum adanya yang lain. Ialah yang menjadikan semua benda dan semua benda ini akan berakhir manakala Ia akan tetap kekal.

2. QADIR ertinya Allah itu Berkuasa. Ia berkuasa atas setiap sesuatu dan atas setiap yang berlaku seperti penciptaan, kekal, mematikan, memberi nyawa dan lain-lain.

3. ALIM ertinya Allah itu Berilmu dan mengetahui setiap sesuatu, besar atau kecil, walau apa yang kita inginkan yang terselidung dalam hati kita. Tiada satu pun yang tersembunyi dari Ilmu Allah.

4. HAYY ertinya Allah itu Hidup dan Abadi.

5. MURID (Iradah) ertinya Allah Memiliki keinginanNya dan laranganNya sendiri. Segala seluruh keinginanNya adalah baik dan membina dan yang tidak itu, buruk dan menghancurkan. Seluruh perbuatannya berasaskan kehendakNya dan tiada apapun yang boleh mengalahkanNya.

6. MUDRIK ertinya Allah Merasakan, Ia juga Maha Mendengar dan Maha Melihat. Ia Ada di mana-mana. Ia melihat dan mendengar tanpa perlu mata dan telinga. Ia mengetahui setiap apa yang berlaku walau bisikan hati sekalipun.

7. MUTAKALIM ertinya Allah Mencipta Kata-Kata pada apapun jua. Ia adalah Pemilik alam. Ia akan berbicara dengan siapa yang ia kehendaki dari hamba-hambaNya seperti para Rasul dan Malaikat. Cara Allah berkata-kata dengan ia mencipta kata-kata pada apapun seperti pada pokok ketika berbicara dengan Rasulullah dan cahaya ketika dengan Rasulullah.

8. SADIQ ertinya Allah Benar dalam semua kata-kataNya dan janjiNya.

SEJARAH
PELAJARAN 3
Pada suatu waktu, bapa saudara Muhammad, Abu Thalib, , menasihati beliau untuk ikut berniaga dengan kafilah perniagaan Khadijah, seorang wanita Makkah yang kaya dan terhormat. Kemudian, Muhammad pun ditunjukkan untuk memimpin kafilah perniagaan tersebut.
Selama bergabung dalam kafilah perniagaannya, Khadijah amat tertarik dengan kejujuran, keteguhan, dan keutamaan perilaku yang ada pada Muhammad. Tanpa rasa segan, Khadijah melamarnya. Muhammad menerima lamaran itu dan tidak lama kemudian, mereka pun melangsungkan pernikahan.
Dari pernikahan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang diberikan nama Fatimah, yang dari keturunannya lahirlah manusia-manusia suci.
HAJAR ASWAD (Batu Hitam)
Sepuluh tahun setelah pernikahan itu, kota Mekah dilanda banjir besar yang merosak sebahagian besar bangunan Kaabah. Warga kota bermaksud untuk memperbaikinya.
Untuk mencegah kekacauan yang bakal terjadi, pembaikan itu dilakukan secara gotong-royong oleh berbagai suku yang ada di kota. Tatkala perbaikan telah selesai, tibalah masanya untuk meletakkan Hajar Aswad. Ketika itu, masing-masing bangsa mengaku merekalah paling berhak untuk meletakkan batu itu sehingga perang hampir berlaku. Lalu muncul Muhammad dan memberikan satu usul. Beliau menanggalkan jubahnya dan meletakkan Hajar Aswad tepat di tengah-tengahnya dan meminta setiap kepala suku memegang tepi jubah itu kemudian membawanya bersama-sama ke tempat asalnya.
Bookmark and Share

KELAS MINGGU KE DUA

RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM HASSAN A.S
Nama – Hassan
Gelaran – Al Mujtaba
Panggilan – Abu Muhammad
Lahir – 15 Ramadhan tahun 3 hijrah
Nama Ayah – Imam Ali Bin Abi Talib
Nama Ibu – Fatimah Az Zahra binti Rasulullah
Syahadah – pada umur 46 tahun, 28 safar, tahun 50 hijrah
Tempoh Imamah – 10 tahun
Maqam – Jannatui Baqi, Madinah
Imam selepasnya – Imam Hussin bin Imam Ali
Imam yang kedua ialah Imam Hassan putera kepada Imam Ali as. Ibunya ialah Fatimah Az Zahra binti Rasulullah. Imam Hassan ialah cucu pertama Rasulullah dan Imam yang kedua selepas ayahnya Imam Ali.
Imam Hassan dilahirkan di Madina pada hari Selasa, 15 ramadhan, 3 tahun selepas hijrah. Beliau syahid diracun oleh salah seorang isterinya, pada 28 safar, 50 hijrah. Majlis kebumiannya dilakukan oleh adiknya Imam Hussin,yang juga Imam selepasnya. Imam Hassan dimaqamkan di Janntaul Baqi, Madina.
Imam adalah seorang yang banyak beribadah dan tiada tandingannya pada zamannya. Ia amat meyerupai datuknya Rasulullah. Ia adalah seorang yang berakhlak mulia dan suka membantu orang lain yang dalam kesusahan.
Pernah satu hari, salah seorang hamba sahaya perempuan Imam menghadiahkan sejambak bunga kepadanya. Imam mengatakan kepadanya, ‘kamu bebas kerana Allah’ dan Imam melanjutkan lagi ‘ketika kamu diberi, sebagai balasan berikan yang terbaik atau sama dengannya’.
Antara contoh kemuliaan Imam adalah ketika seorang dari Syam datang ke Madinah dan ketika bertemu dengan Imam, ia mula melemparkan kata-kata kejian terhadap Imam. Imam tidak mengatakan apa-apa pun. Setelah selesai mencaci maki Imam, Imam pun menghampirinya dan mengucapkan salam kepadanya dan berkata kepadanya dengan senyuman, ‘wahai saudaraku, kau pasti orang asing di sini dan kau tidak mengenalku. Oleh itu jika kau menghadapi apa saja kesusahan, aku akan membantumu, jika kau mahukan apapun akan aku penuhi, jika kau ingin pergi kemana-mana akan aku bawa, jika kau lapar, kau boleh menjadi tetamuku, jika kau tidak memiliki pakaian, aku akan berikan, jika kau rasa kesunyian, aku akan menemanimu”
Setelah orang Sham tersebut mendengar kata-kata Imam, dia menangis dah berkata ‘aku bersaksi kau adalah khalifah Allah di atas muka bumi dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui kepada siapa Ia menurunkan risalahNya”.
Rasulullah pernah bersabda “barang siapa yang ingin melihat wajah pemimpin pemuda ahli syurga, lihatlah kepada puteraku Hassan”. Dihadis yang lain Rasulullah bersabda “sesiapa yang cintaiku, ia juga patut mencintainya (Imam Hassan)”.
Imam Hassan telah mengerjakan Ibadah haji sebanyak 25 kali dengan berjalan kaki.
Salah sorang dari sahabat Rasulullah menungkilkan, satu hari Imam Hassan berjalan dan bertemu dengan beberapa orang sahabat Rasulullah, Imam memberi salam kepada mereka dan mereka menjawab salamnya dan setelah itu Imam pun berlalu pergi. Ada seorang dari sahabat Rasul yang tidak mengenal Imam, apabila diberitahu yang tadi itu adalah Imam Hassan, ia dengan bersegera mengejar Imam. Setelah bertemu Imam ia pun berkata ‘salam ke atas mu wahai maula ku’. Sebahagian orang bertanya kepada sahabat Rasul itu, kenapa memanggil Imam dengan perkataan maula ku. Ia mennjawab ‘aku mendengar Rasulullah bersabda “sesungguhnya puteraku ini (Imam Hassan) adalah pemimpin (maula)”
Soalan:
1. Apakah makna Al Mujthaba?
2. Kenapa Imam Hassan dipanggil dengan Abu Muhammad?
3. Sham sekarang ini terletak di negara mana?
4. Siapakah yang merancang pembunuhan Imam Hassan dan ceritakan peristiwa itu?
5. Kisahkan secara ringkas proses pemakaman Imam Hassan?

USULUDDIN (Asas-Asas Agama-Akidah)

Pelajaran 2

Adanya alam ini menunjukan bukti bahawa Allah itu ada dan Allah jugalah yang mengatur alam ini. Allah adalah Esa dan tidak memiliki sekutu dalam menjadikan dan mengatur alam ini.

Antara jalan untuk mengenal Allah adalah dengan sifat-sifatNya. Sifat-sifat yang ada pada Allah dipanggil sebagai sifat Subutiyah manakala sifat yang mustahil bagi Allah dipanggil sebagai sifat Salbiyah.

Sifat-sifat Subutiyah Allah ialah:
1. Qadim
2. Qadir
3. Hayy
4. Alim
5. Murid-Iradah
6. Mudrik
7. Mutakalim
8. Sadiq

Sifat-sifat Salbiyah Allah ialah:
1. Murakkab
2. Jism
3. Makaan
4. Mohtaj
5. Mar’ie
6. Mahal Hawadith
7. Sharik


Sifat-sifat ini akan diterangkan dalam perbahasan yang akan datang.

PERBAHASAN FURUUDIN SILA RUJUK BUKU MARILAH SOLAT KELUARAN ALMUNTAZAR RESOUCES

SEJARAH
PELAJARAN 2
Bangsa Quraisy
Bangsa Quraisy dipandang sebagai salah satu bangsa yang dihormati dan disegani di antara bangsa-bangsa yang ada di semenanjung Arabia. Quraisy sendiri terbahagi kepada berbagai suku. Bani Hasyim adalah salah satu suku terhormat di antara suku-suku yang ada. Qushai bin Kilab adalah nenek moyang mereka yang bertugas sebagai penjaga Ka'bah. Di tengah warga Makkah, Hasyim dikenal sebagai orang yang mulia, bijaksana, dan terhormat. Ia banyak membantu mereka, memulai perniagaan pada musim dingin dan musim panas supaya mereka mendapatkan penghidupan yang layak. Atas jasa-jasanya, warga kota memberinya julukan "Sayid" (tuan). Julukan ini secara turun-temurun disandang oleh anak keturunan Hasyim. Setelah Hasyim, kepemimpinan bangsa Quraisy dipercayakan kepada anaknya yang bernama Muthalib, kemudian dilanjutkan oleh Abdul Muthalib.
Abdul Muthalib adalah seorang yang berwibawa. Pada masanya, Abrahah Al-Habasyi menyerbu Makkah untuk menghancurkan Ka'bah, namun berkat pertolongan Allah SWT, Abrahah dan pasukan gajahnya mengalami kekalahan. Tahun penyerbuan itu kemudian dikenal dengan nama Tahun Gajah. Dan sejak peristiwa itu, nama Abdul Muthalib pun semakin terpandang di kalangan kabilah Arab.
Abdul Muthalib mempunyai beberapa anak. Di antara mereka, Abdullah adalah anak yang paling saleh dan paling dicintainya. Pada usia 24 tahun, Abdullah menikah dengan perempuan mulia bernama Aminah.
Dua bulan setelah Tahun Gajah, Aminah melahirkan seorang anak. Ia memberinya nama Muhammad. Sebelum kelahiran Muhammad, ayahnya Abdullah meninggal dunia. Tidak lama setelah melahirkan, sang ibu pun menyusul suaminya kembali ke alam baka. Maka, sejak awal kelahirannya, Muhammad sudah menjalani hidupnya sebagai anak yatim piatu.
Setelah ditinggalkan oleh kedua orang tua yang dicintainya, Muhammad diasuh oleh datuknya sendiri, Abdul Muthalib. Berkat anugerah dan rahmat dari Allah SWT, Muhammad tumbuh menjadi dewasa dengan kesucian jiwa yang terpelihara.
Warga kota Makkah begitu mencintainya, bahkan merelakan barang-barang mereka berada di bawah pengawasan Muhammad. Atas kejujuran dan sifat amanah yang ditunjukkannya, mereka memberinya gelaran "Al-Amin", yakni orang yang tepercaya.
Dengan bekal iman yang teguh, Muhammad membantu orang-orang fakir, membela orang-orang yang tertindas, membahagikan makanan kepada mereka yang lapar, mendengarkan keluhan-keluhan mereka, dan berusaha memberikan jalan keluar atas masalah-masalah yang mereka hadapi.
Bookmark and Share

Rabu, 11 Jun 2008

Kelas Minggu Pertama

RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM ALI A.S.

Nama – Ali
Gelaran – Al Murtadha, Amirul Mukminin, Abu Turab, Asadullah
Panggilan- Abul Hassan
Lahir – Jumaat 13 Rajab, dalam Kabaah yang suci.
Nama ayah – Abu Talib bin Abdul Mutalib
Nama ibu – Fatimah binti Asad
Syahadah – pada umur 63 tahun, 21 Ramadhan 40 Hijrah
Maqam – di Najaf Ahsraf, Iraq
Tempoh Imamah – 30 tahun
Imam pengganti – Imam Hassan Al Mujtaba
Imam Ali adalah Imam kita yang pertama. Ia adalah putera kepada Abu Talib, pemimpin kota Mekah. Ibunya adalah Fatimah binti Asad. Beliau juga adalah sepupu Rasulullah dan berkawin dengan Fatimah Az Zahra puteri Rasulullah. Imam Ali dibesarkan oleh Rasulullah sendiri.
Imam syahid pada hari 21 Ramadhan akibat ditetak dengan pedang beracun oleh Ibnu Muljam ketika Imam sedang ruku melaksanakan solat subuh pada 19 Ramadhan 40 Hijrah. Ia dikebumikan oleh puteranya Imam Hassan dan Imam Hussin di Najaf Ahsraf. Maqamnya kini adalah tempat ziarah para pencintanya dan merupakan pusat keilmuan Ahlul Bait.
Imam adalah seorang yang terhormat dan memiliki keperibadian yang agung. Ia adalah orang yang pertama memeluk agama Islam. Ia juga tidak pernah kalah dalam pentempuran yang ia sertai dan tidak pernah melarikan diri dari pentempuran.
Antara kehebatan peribadi Imam yang tersohor ketika Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya “hakim yang terbaik dikalangan kalian adalah Ali”.
Tentang ilmu Imam Ali yang tidak terbatas, Rasulullah bersabda “aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya”. Hadis ini terang menyebutkan, barang siapa yang mahukan ilmu Rasulullah hendaklah melalui Ali.
Hubungan Ali dengan kebenaran amat jelas sekali dalam sabda Rasulullah “Ali bersama hak dan hak bersama Ali”.
Imam ketika memerintah, ia amat menyayangi masyarakatnya, ia tidak berpihak dalam seluruh hal dan sentiasa adil dalam hukumnya. Pernah ketika ia melawat Baitul mal dan melihat seluruh emas dan perak yang ada, ia berkata “wahai kuningan dan wahai putihan, godalah selain aku”.
Ia amat mengasiani yang miskin dan sentiasa duduk bersama mereka. Imam sentiasa bersandarkan kepada kebenaran dan adil dalam menghukum. Imam menjelmakan sifat Rasulullah dalam dirinya, malah Al Quran menyebutkannya sebagai “diri Rasulullah”.
Soalan
1. Apa makna Al Murtadha, Amirul Mukminin, Abu Turab dan Asadullah?
2. Kenapa Imam dipanggil Abul Hassan?.
3. Ketika memerintah, Imam menjadikan kota apa sebagai pusat pentabirannya?
4. Apa makna Baitul Mal?
5. Dalam ayat apa dan surah apa Imam dipanggil sebagai “diri Rasulullah” dan perisitiwa itu dikenali sebagai apa?

MAKNA ISLAM

Islam ialah perkataan Arab yang memberi erti menyerah dan patuh. Dalam Agama Islam, Islam memberi erti penyerahan dan kepatuhan penuh kepada kehendak Allah. Islam adalah jalan hidup dan dengannya Allah pencipta alam mengatur kehidupan manusia.

Allah mengirim para RasulNya dari kalangan manusia untuk menyampaikan syariat Allah supaya mereka dapat memberi hidayah kepada manusia ke arah jalan yang lurus. Jalan yang benar ini adalah Islam, agama yang disampaikan oleh seluruh Rasul Allah. Para Rasul itu dan pengikut mereka dipanggil sebagai muslim ketika mereka menyerahkan diri mereka kepada Allah.

Di dalam Al Quran Allah berfirman:
“Telah disyariatkan kepada mu dari agama sebagaimana di syariatkan kepada Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepada mu dan apa yang telah kami arahkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu berdirilah atas agama dan jangan berlepas darinya” (As Syura-13)

Memeluk Islam
Seseorang itu akan memeluk agama Islam dan menjadi seorang muslim ketika ia mengucapkan dua kalimah syahadah yang ertinya:-
“Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruhnya”

Seseorang Muslim adalah orang sudah tetap keyakinannya pada Allah yang Esa, Hari Ahkirat, Para Rasul, Malaikat, Kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah dan percaya apa yang diturunkan kepada Rasulullah itu benar.

Apapun dengan hanya mempercayai tidak cukup menjadikan seseorang itu muslim yang sempurna. Ia mestilah mengamalkan syariat yang diturunkan supaya ia akan bahagia di dunia dan ahkirat serta mendapatkan ganjaran syurga.

Ajaran Islam
Ajaran Islam boleh dibahagikan kepada 3 bahagian
1. Usuluddin
2. Furru’din
3. Akhlak


FURRU’DDIN (Cabang Agama – Fiqh)

Pelajaran 1

Furru’din ada 10 perkara, iaitu:

1. Solat
2. Saum – puasa
3. Haji
4. Zakat
5. Khumus
6. Jihad
7. Amr bil Ma’ruf – mengajak kepada kebaikan
8. Nahi anil Mungkar – mencegah kemungkaran
9. Tawalla – memperwalikan Rasulullah dan Ahlu BaitnyaTabarra – berlepas diri dari musuh Rasulullah dan Ahlu Baitnya


USULUDDIN (Asas-Asas Agama-Akidah)

Pelajaran 1

Asas yang paling petinng dalam ajaran Islam permasalahan akidah. Dalam akidah terdapat 5 perkara yang asas.

1. Tauhid
2. Adlah – keadilan Allah
3. Nubuah – kenabian
4. Imammah – kepimpinan selepas Rasulullah
5. Maad – Hari pembalasan

1. Tauhid
Tauhid ertinya adlaah keEsaan Allah. Ia bererti keyakinan bahawa seluruhnya diciptakan oleh Allah dan seluruhnya di bawah kekuasaanNYa.

Penciptaan, mengatur, keberlangsungan kejadian, memberi rezeki, mematikan, memberi kesihatan dan sakit semuanya di bawah kehendak Allah. Allah berfirman :
“Sesungguhnya urusanNya jika Ia berkehendakkan sesuatu, Ia hanya mengatakan jadi maka akan jadi”. (Surah Yasin, ayat 82)

Dalil-dalil keberadaanNya dapat kita saksikan pada alam ini, contohnya matahari yang bersinar, bulan yang mengambang, bintang-bintang yang bergemelapan, awan-awan yang berarak ditiup angin, hujan yang turun, sungai yang mengalir, lautan yang terbentang luas, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan manusia. Semua ini adalah tanda kewujudanNya dan sifat-sifatNya yang Agung

SEJARAH

Pelajaran 1

Sejarah dalam Islam dikenali dengan Sirrah. Sirrah ertinya perjalanan iaitu perjalanan hidup atau kisah orang-orang yang terdahulu. Mempelajari sejarah ertinya kita mempelajari kisah hidup orang-orang yang terdahulu dari kita.

Tujuan mempelajari sejarah

Mempelajari sejarah bukan hanya sekadar untuk tahu tentang kisah kehidupan orang-orang yang terdahulu dari kita tetapi ia memiliki tujuan-tujuan yang sebagaimana berikut:-
1. Mengetahui tamadun mereka.
2. Mengenal yang baik dari mereka dan yang jahat dari mereka.
3. Mengambil pelajaran dari kehidupan mereka.
4. Mengatur hidup kita dan masa depan kita.

Orang yang mempelajari sejarah adalah orang yang memiliki pegalaman yang banyak, sebanyak pengetahuannya tentang sejarah orang-orang yang terdahulu.

Sejarah dalam Islam

Sejarah dalam Islam dibahagikan kepada dua bahagian:-
1. Sebelum Zaman Rasulullah
2. Zaman Rasullullah Dan Selepasnya

Sejarah sebelum zaman Rasulullah adalah sejarah tentang Nabi-Nabi dan umat-umat yang terdahulu. Sejarah zaman Rasulullah dibahagikan kepada pecahan berikut.
1. Zaman Arab Jahiliah.
2. Kehidupan Rasulullah sejak lahir hingga wafat.
3. Zaman para Imam.
4. Zaman selepas ghaib Imam Mahdi.
Bookmark and Share