Jumaat, 20 Jun 2008

WILAYAH TAKWINI

WILAYAH TAKWINI

Muqaddimah


Masalah Wilayah dan Imamah adalah antara ajaran pokok mazhab Ahlu Bait a.s., ia juga merupakan salah satu dari rukun akidah selain Tauhid, Adl, Nubuwah dan Maad. Para
ulamak Syiah dari masa ke semasa telah menulis dan membahaskan masalah ini dengan teliti bersumberkan dalil-dalil naqli dari Al Quran dan kitab-kitab hadis baik dari kalangan Syiah mahupun Ahlu Sunnah., dan disertakan dengan dalil-dalil akli untuk membuktikan akan kebenaran maktab Imamiah yang berpegang kepada Wilayah 12 orang Imam selepas Rasulullah. Tidak kurang juga para penyelidik menjawab sanggahan-sanggahan yang diutarakan oleh saudara-saudara Ahlu Sunnah dalam bab ini.

Tujuan utama untuk membahas tajuk ini adalah untuk memahamkan kepada kita pengikut dan pencinta Ahlu Bait akan kedudukan wilayah Ahlu Bait supaya tidak terjadi ifrad dan tafrid. Ifrad dengan menganggap mereka seperti manusia-manusia yang lain dan tafrid pula menganggap mereka bukan lagi manusia. Kedua-dua hal ini berlaku dikalangan pengikut Ahlu Bait, khususnya golongan yang tafrid seperti golongan “sheikhiah” yang menganggap para Imam 12 itu bukan manusia tetapi seakan dewa. Para marajih sejak dini lagi sudah mengkafirkan gologan ini dan menganggap mereka sebagai ghulat walau secara zahir mereka berpegang pada mazhab Imamiah.

Masalah wilayah para Imam adalah masalah yang amat sensetif sekali dan amat berharga. Setiap fadilat dan kelebihan yang Allah kurniakan kepada mereka amat sukar untuk difahami dan ditasawurkan oleh orang-orang biasa hingga boleh mengakibatkan mereka menjadi terpesong dan ghulat dalam akidah. Para Imam sendiri dalam beberapa hal tidak menceritakan dan menunjukan kelebihan yang mereka miliki kepada semua orang.

Sebagaimana kata Amirul Mukminin Imam Ali a.s.
“Ifrad dan Tafrid akan masalah wilayah menyebabkan kehancuran mereka…”
Nahjul Balagha Fidh, ms 1141.


Dalam perbahasan ini selain dari membahas akan wilayah takwini para Imam 12, kita juga akan membahas beberapa bab sebagai asas perbahasan termasuklah perbahasan Tauhid dan pecahannya, hukum-hukum kuasaliti semula jadi, jalan-jalan yang menghasilkan kekuatan , Ismu Eh’zam dan bab-bab yang lain.

Para Ikwan Mukmin dan Mukminat diharap dapat memberikan komentar mereka dan insyallah jika ada soalan, kami sedia dan akan cuba menjawabnya.

Wa ma uridu illa islah Lillahi Taufik ilaihi tawakaltu wa ilaihi unibtu



Tauhid dan Wilayah Takwini

Perbahasan Satu
Tauhid dan para Ambia


Masalah tauhid dan menyembah Yang Maha Esa serta menentang segala bentuk syirik dan penyembahan berhala adalah tugas paling utama para Ambia pada sepanjang sejarah. Antara ayat-ayat Al Quran yang menyebut tentang tugas para Ambia adalah dalam surah

An Nahl, ayat 36 :
“sesungguhnya kami telah mengutus kepada setiap umat, Rasul yang mengajak untuk menyembah Allah dan meninggalkan taghut….”


Dalam surah Ambia, ayat 25
“tidak kami utus sebelum kamu dari Rasul kecuali kami mewahyukan kepadanya sesunggunya tiada tuhan selain Aku maka sembahlah Aku”


Dalam surah Fhusilat, ayat 14
Telah datang kepada mereka para Rasul dari kalangan mereka dan dari belakang mereka dengan memerintah mereka untuk tidak menyembah selain dari Allah”


Ayat-ayat di atas sebagai contoh akan tugas paling penting para Ambia Allah untuk mengajak umat-umat mereka bertauhid dan tidak menyembah selain Allah serta menentang kesyirikan dan taghut.

Pembahagian Tauhid
Secara usulnya tauhid boleh dibahagikan kepada empat (4) pecahan yang penting dan setiap satu darinya memiliki urutan rantingnya tersendiri. Usul tauhid yang empat adalah sebagaimana yang berikut.

i. Tauhid Zat
ii. Tauhid Sifat
iii. Tauhid Ibadat
iv. Tauhid Af’al (perbuatan)

Perbahasan tentang Tauhid merupakan perbahasan yang memerlukan ketelitian. Ia adalah asas kepada marifah. Tanpanya tiada agama, ia adalah awal dari agama. Kecetekan akan masalah Tauhid akan membawa kepincangan dalam memahami hal-hal yang lain dari akidah termasuk dalam mengenal Imam dan Wilayah Takwini mereka.

Dalam perbahasan ini, kita hanya menyentuh sedikit tentang pembahagian Tauhid dan tidak akan membahasnya secara terperinici. Dengan izin Nya dan Rasulullah serta Ahlu Baitnya, kita akan membahasnya dalam tulisan-tulisan yang lain.Untuk perbahasan yang lebih rinci akan hal ini, sila rujuk ke kitab-kitab akidah Imamiah yang muktabar seperti kitab Babul Hadi Asyr karangan Allamah Hilli, Ta’alimul Akidah oleh Sheikh Misbah Yazdi, Tauhid oleh Sheikh Sadduq, Ilahiat oleh Sheikh Jaffar Subhani atau untuk kefahaman yang lebih mendalam sila rujuk kitab Risalatul Tauhidiah oleh Allamah Tabatabaie r.a., Tahrirul Tahmhidul Aka’ed oleh Sheikh Jawadi Amoli dan kitab-kitab muktabar yang lain.

i. Tauhid Zat

Tauhid sifat adalah menyakini bahawa Allah Yang Maha Suci tidak memiliki pasangan dan tiada yang seumpama Nya. ZatNya tidak memiliki anggota dan bukan sebahagian dari yang lain dan Ia tidak dapat ditasawwurkan. Zat yang tidak memiliki batas dan tidak ditempati pada tempat serta tidak dilingkupi oleh ruang.
Antara ayat-ayat Al Quran yang menerangkan Tauhid Zat seperti Surah Tauhid,

surah Ambia ayat 22.
“jika saja pada langit dan bumi tuhan selain Allah, maka langit dan bumi akan kacaubilau (fasad)”


Surah Ali Imran, ayat 18
“Allah dan para Malaikat serta yang berilmu bersaksi sesungguh tiada Tuhan selainNya Yang Berdiri dengan Keadilan, (seluruh alam bersaksi) tiada tuhan kecuali Dia Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.”


Ayat-ayat ni juga mengisyarahkan kebenaran dalil akal yang mana sistem yang wujud dalam alam ini adalah system yang satu. Keseimbangannya serta keterikatan satu dengan yang lain menunjukan kesemuanya kembali kepada pencipta dan zat yang satu. Dalam perbahasan Tauhid dibahaskan hal ini dalam burhan Nizam. Jika ada dua pencipta maka pasti akan ada dua sistem, maka ini akan menyebabkan kecelaruan dan alam juga akan hancur disebabkan dua iradah. Jika satu iradah terkalahkan maka menujukan akan kelemahan dan ini mustahil bagi pencipta alam.

Dalam dalil kausaliti (sebab akibat) membuktikan hal yang sama. Alam yang keseluruhannya adalah satu dan yang satu tidak akan memiliki dua penyebab kejadiannya. Ini akan mengakibatkan suatu yang telah ada diadakan sekali lagi. Serta keterikatan satu dengan yang lain dari alam ini diikat dengan hukum sebab akibat dan akhirnya semua akan kembali kepada satu sebab yang mutlak.Dalam burhan Siddiqin secara jelas menunjukan bahawa hakikat dari wujud itu hanya satu atau esa dan tidak akan terbayangkan untuknya dua.

ii. Tauhid Sifat
Tauhid sifat menjelasakan bahawa antara Zat dan Sifat bukan dua hal yang berbeza. Para ulamak sering menyebut ZatNya adalah SifatNya sendiri dan SifatNya adalah ZatNya sendiri. (Zattu ainul sifatihi wa sifatuhu ainu zattihi). Zat Allah adalah Yang Berilmu , Yang Berkuasa, Yang Azali dan Yang Abadi. Jika ZatNya bukan SifatNya maka bererti Allah terbentuk dari komponen yang boleh dipilah-pilah serta memerlukan setiap anggota dari komponen itu untuk ada, dan ini adalah sifat yang ada pada makhluk. Sesungguhnya Allah, Maha Suci dari pandangan yang sedemikian. Akal yang sehat tidak dapat menerima bila Allah memerlukan kerana memerlukan adalah sifat fakir sedangkan Allah yang Maha Kaya,

sebagaimana firmanNya dalam surah Fathir, ayat 15:
“wahai manusia sesunggunya kamu semua fakir kepada Allah dan Allah Dialah yang Maha Kaya lagi Maha layakDiPuji”


dalam surah Luqman, ayat 26 :
“Allah yang memiliki apa saja di langit dan di bumi, sesungguhnya Allah Dialah Maha Kaya Lagi Maha Layak Dipuji”


Dari sini kita boleh mengambil natijah bahawa Zat Allah bukanlah satu hal yang berasingan dari SifatNya, Cuma dalam perbahasan akidah diterangkan bahawa kefahaman dalam memahami Sifat-Sifat Allah membuatnya dibahas dalam bab-bab yang berbeza tetapi sebenarnya hakikat Sifat dan Zat itu sama.

iii. Tauhid Ibadah
Ia yang menjadikan alam ini dan Dialah yang mengurusnya, setiap nikmat yang tidak terhingga ke atas makhluk datang dariNya. Maka Dia lah yang layak untuk disembah dan tidak terbayang selain dariNya. Amirull Mukmin berkata ‘tidak aku menyembahNya kerana takut pada api nerakaNya atau tamak kepada syurgaNya tetapi aku melihatNya layak untuk disembah maka aku menyembahNya’.

Ia adalah kesempurnaan mutlak dan mutlak kesempurnaan. Akal hanya dapat menerima ibadah yang dilakukan kepada kesempurnaan mutlak bukan selain darinya. Dan dengan itu mereka yang menuju kepadaNya akan meyibukan diri dengan pembinaan dan penjagaan diri serta mengangkat darjat mereka semakin dekat kepadaNya. Di sini kita membawa dua ayat yang menyentuh tentang tauhid Ibadah.

Surah Al Fatiha, ayat 4,
“hanya pada Mu kami menyembah dan hanya pada Mu kami meminta pertolongan”


surah Ali Imran, ayat 64
“katakan (Muhammad), wahai ahli kitab, marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu yang tidak akan kami sembah kecuali Allah dan jangan kita syirik kepadaNya dengan sesuatu”



iv. Tauhid Perbuatan
Ini bermaksud setiap perbuatan yang belaku dalam alam kejadian semuanya kembali kepada Allah S.W.T. dan semuanya bergerak dibawah Qudarah (kekuatan) Nya. Ia adalah Sebab mutlak, Sebab kepada segala penyebab kepada segala yang wujud. Dalam alam ini yang hadir hanya kekuasaanNya sahaja dan tiada selainNya yang memiliki kemampuan mandiri untuk mengatur alam. Sifat iktiar manusia merupakan lambang akan kekuasaan dan kurniaanNya. Manusia dan kewujudan yang lain ketika memiliki iktiar dalam perbuatan, pun tidak akan mampu melakukan apa-apa tanpa kekuasaan dan izin serta qudrah Nya. Berberapa ayat-ayat Al Quran mengisyarahkan akan hal ini.

Surah Ar Radh, ayat 16
“katakanlah Allah yang menjadikan setiap sesuatu dan Ia yang Esa dan lagi Maha Berkuasa”


Surah Al Fathir, ayat 3
“wahai manusia ingatlah nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu, apakah ada pencipta selain Allah yang mengurniakan kamu rezki dari langit dan bumi, tiada tuhan selain Nya maka kemana kamu akan berpaling”


Surah Yassin, ayat 82
“sesungguhnya urusanNya jika Ia menginginkan sesuatu, Ia mengatakan kepadanya jadilah maka ia akan ada, maka Maha Suci yang pada tanganNya malakut setiap sesuatu dan kepadaNya semua akan kembali”


Dengan ini kita dapat memahami bahawa seluruh kewujudan dalam alam mungkin datang dariNya. Dia adalah pemilik mutlak dan kekuasaan yang padaNya tidak pada yang lain. Iktiar setiap sesuatu ada padaNya. Perlu difahami juga, hal ini tidak bertentang dengan iktiar yang dimiliki oleh manusia. Menolak iktiar manusia sama ertinya dengan menafikan Qudrah Allah malah lebih teruk dari itu. Untuk perbahasan ini perlu dirujuk kepada perbahasan keadilan Allah, khususnya buku keadilan Ilahi karangan Allamah As Syahid Murtaza Muttahari r.a.


PERBAHASAN 2

Pembahagian Tauhid Perbuatan


Sebagaimana yang telah disebut dalam perbahasan yang lepas. Setiap satu dari usul Tauhid memiliki ranting-rantingnya tersendiri. Ini termasuk Tauhid perbuatan memiliki rician dan bahagian tersendiri. Di sini kita akan mengemukakan beberapa contoh dari pembahagian Tauhid Perbuatan.


1. Tauhid Khalikiat (penciptaan)
Allah S.W.T. Zat Yang Suci yang menjadikan semesta alam dan bukan selain dariNya. Ia adalah Wujud yang Wajib dari ZatNya. Ia menjadikan setiap wujud yang mungkin (yang memerlukan) dan kesemuanya ada makhlukNya sebagaimana firman Allah dalam

surah Al An’am, ayat 102
“inilah Allah Tuhan kamu, tiada tuhan selainNya yang menjadikan setiap sesuatu, maka sembahalah Ia, dan Ia wakil (mengatur) setiap sesuatu”


surah mukmin, ayat 62.
“inilah Allah, Tuhan kamu, yang menjadikan setiap sesuatu, tiada tuhan selainNya, maka kemana kamu berpaling”


2.Tauhid Hakimmiat (kehakiman)
asas dari kebebasan menuntut seseorang tidak berhak menghukum orang lain. Dari satu sisi lain pula, manusia mahau tidak mahu perlu hidup dalam masyarakat dan ini menuntut perlu ada satu pemerintahan, jika tidak manusia tidak mampu hidup secara berkelompok.

Allah adalah pencipta dan yang mengatur manusia dan seluruh alam, maka dengan itu hak menghukum hanyalah milik Allah, Perlaksanya adalah para Ambia dan Rasul serta para Imam yang suci, dan pada zaman gahibah Imam yang ke 12, kekuasan itu terletak pada bahu Fuqaha yagn memenuhi syarat. Allah S.W.T. berfirman dalam

surah Yusuf ayat 40
“…hukum hanyalah miliki Allah, Ia mengarahkan kamu untuk tidak menyembah kecuali kepadaNya…”


dari ayat ini kita boleh mengambil kesimpulan bahawa dalam alam syariat para Rasul dan Imam ditugaskan untuk mengatur kehidupan manusia sebagai wakil Allah. Mereka adalah perlaksana hukum Allah. Ini kita panggil sebagai wilayah Tasyrie. Selepas ghibah kubra, wilayah ini dipikul oleh para fuqaha. Pada asasnya manusia lain tidak ada hak untuk menghukum orang lain.


3. Tauhid Ketaatan

Ini bermaksud di dalam alam kejadian tidak ada yang memiliki wewenang secara madiri untuk wajib ditaati kecuali Allah S.W.T. Ketaatan kepada para Rasul dan Aimmah juga berada di bawah ketaatan kepada Allah. Ini disebabkan ketaatan mutlak berkait dengan unsur pemilikan dan penguasaan dan ianya hanya dimiliki oleh Allah S.W.T. dan bukan selainNya. Ketaatan yang disyariatkan kepada para Aulia dikeranakan hubungan ibadah dan penyembahan mereka kepada Allah, sebagaimana yang difirman dalam

surah An Nissa, ayat 64
“tidak kami utus dari Rasul kecuali untuk ditaati dengan izin Allah…”
Ayat ini merupakan contoh yang menunjukan bahawa kewajiban mentaati para utusan dan wali Allah adalah dengan izin Allah S.W.T.


4. Tauhid dalam membuat syariat dan undang-undang
Dalam kehidupan bermasyarakat yang berhak untuk membuat undang-undang untuk manusia adalah yang memiliki pengetahuan yang sepenuhnya tentang manusia serta dapat mengusai manusia. Ia juga tidak akan memberatkan kelompok-kelompok tertentu serta tidak memiliki kepentingan diri. Tidak ada yang lebih mengenal manusia dan alam ini lebih dari pencipta manusia sendiri, maka yang layak untuk membuat hukum untuk manusia patuhi adalah Allah S.W.T., hatta para Rasul dan Aimmah juga tanpa izin Allah tidak berhak mengubal hukum untuk manusia.

Firman Allah dalam surah Al Ma’idah, ayat 44
“sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang yang kafir”


Pada lanjutan ayat ini mereka juga digelar sebagai fasik dan zalim.

5. Tauhid Rububiat
Hanya Allah saja yang mengatur dan mengurus alam ini. Sistem dan putaran alam berada pada kekuasaan Allah S.W.T. dan tanpa izinNya tiada siapa yang memiliki kekuatan untuk mengusai dan campur tangan dalam pengurusan alam.

Contoh-contoh ayat yang menyebut akan hal ini.

Surah ArRahman, ayat 17
“tuhan yang mengatur dua timur dan dua barat”


surah al Jasiah, ayat 36
“maka segala puji untuk Allah pengatur petala langit dan pengatur dunia dan pengatur sekian alam”


surah An’am, ayat 164
“kata (ya Muhammad )apakah kamu inginkan selain Allah sebagai tuhan? Dan Ia mengatur setiap benda”


surah Yunus, ayat 3
“sesungguhnya tuhan (pengatur) kamu, Allah yang menjadi petala langit dan bumi dalam enam hari danlau Ia bersemayam atas arys dan mentadbir segala urusan, tidak ada penyembuh kecuali selepas izinNya, itulah Allah tuhan(pengatur) kamu, beribadahlah kepadaNya, apakah kamu tidak berfikir”



6. Tauhid pada Pemilikkan


Seluruh alam, termasuk manusia adalah makhluk Allah S.W.T. dan keberadaan mereka juga atas kurniaan Allah dan terikat denganNya. Pengguasaan dan pemilikkan manusia ke atas alam juga disebabkan iradah dan kehendak Allah. Tidak sekali-kali manusia memilikinya secara mandiri. Semuanya berada di bawah pemilikkan Allah, baik secara hakiki, pemilikkan yang bersangkutan dengan alam semula jadi, mahupun secara huquqi (hukum), pemilikkan secara syariat dan undang-undang.

Secara taqwini Allah adalah pemilik mutlak alam. Seluruh petala langit dan setiap lapisan bumi di bawah pemilikan Allah. Allah juga adalah pemilik sebenar hukum syariat. Secara zahir Allah telah mengurniakan pemilikan kepada manusia secara majazzi (lawan hakiki). Manusia secara majazzi adalah pemilik apa yang ia usahakan.

Dalam surah Ali Imran,ayat 189, Allah berfiraman yang maksudnya
“dan bagi Allah kerajaan petala langit dan bumi dan Allah berkuasa atas setiap sesuatu”


Surah Al Baqarah, ayat 157,
“….mengatakan sesungguhnya kami dari Allah dan kepadaNya kami akan kembali”
Amirullmukminin mengatakan maksud kami dari Allah adalah ‘mengakui bawa diri kita adalah milik Allah’ dan kepadaNya kami akan kembali adalah ‘mengakui bawa diri kita akan mati’ (Nahjul Balagha, kata-kata hikmah 95)


Ayat dan kata-kata Amirullmukminin Ali bin Abi Talib adalah contoh yang menjelaskan bahawa pemilik sebenar alam dan segala di dalamnya adalah Allah.

Al Marhum Alamah Tabatabie r.a. dalam hal ini mengatakan,
“wujud manusia dan segala sesuatu yang berhubungan dengannya dari kekuatan dan perbuatannya terikat dengan Allah yang menjadikan dan mengwujudkannya. Kehidupan manusia bergantung kepada wujudNya. Manusia dalam segala bentuk keadaan dan keberadaan memerlukan dan bergantung kepadaNya dan dalam apa juga hal manusia tidak mandiri, maka tuhannya akan mengusainya dengan apa yang Ia inginkan dan manusia tidak memiliki apa-apa pun dan Allah adalah pemiliknya, kekuatan dan segala perbuatannya……”


Maka pemilikkan sebenar Allah dan untuk manusia secara majazzi dan kurnian.
Bookmark and Share

IMAM KHOMIENI DAN PERJUANGAN TAUHID

IMAM KHOMIENI DAN PERJUANGAN TAUHID

Berbicara tentang Imam Khomeini, pasti ada dua perkara yang akan sepakati oleh para pembentang kertas kerja. Pertama, beliau adalah seorang tokoh yang amat luar biasa dan mukjizat abad ke 20, kedua, apa saja yang kita bicarakan tentang beliau, beliau lebih hebat dari apa yang kita bicarakan.

Kita kembali mengingati peristiwa tahun 1979 di mana dunia dikejutkan dengan sebuah Revolusi yang tidak berpihak kepada barat dan timur. Revolusi yang dipimpin oleh seorang Mullah tua, berjanggut putih dan berserban hitam. Revolusi yang menjadi harapan bagi kaum mustadafin serta menjadi dambaan dan impian pada perjuang Islam seluruh dunia. Revolusi yang disertakan dengan laungan ‘Allahu Akhbar’ dan seruan ‘Tidak timur dan tidak barat tetapi Islam’. Revolusi yang menjadi jambatan kepada pepaduan umat Islam dan kekuatan kepada golongan tertindas seluruh dunia. Sejak itu hingga kini nama Khomeini menjadi sebutan baik pada yang kawan mahupun lawan.

Kemenangan Revolusi Islam Iran, sebagaimana kata Imam Khomeini adalah kemenangan darah mengalahkan pedang, memiliki sejarah yang panjang. Walaupun kekuatan rakyat memainkan peranan penting dalam kemenangan revolusi, tetapi inti atau sebab utama dari kemenangan itu lahir diri Imam sendiri yang merupakan nahkoda utama hingga berdirinya Republik Islam Iran. Boleh dikatakan bahawa rahsia kemenangan revolusi adalah Imam itu sendiri dan jika kita mahu mengenal pasti sebab kemenangan revolusi bererti kita mesti mengenal Imam Khomeini terlebih dahulu. Apakah senjata yang digunakan oleh Imam hingga berjaya menumbangkan Raja bagi segala raja, Shah Iran yang didukung oleh ketenteraan dan setan besar Amerika.

Imam bermula kehidupan sebagai sorang pelajar ilmu yang menuntut di institusi Islam atau dikenali sebagai Hauza Ilmiah, bermula di tempat kelahiran beliau di kota Komein, Ghulpaigan dan meneruskan pembelajaran beliau ke kota Arak dan ketika Marhum Ayatullah Uzma Haeri membuka Hauza di kota Qom, beliau berpindah ke kota Qom. Imam amat bangga dengan gelaran Talabah iaitu penuntut Ilmu hingga pada penghujung hayatnya beliau masih mengelarkan dirinya sebagai seorang Talabah.

Sayid yang mulia ini sejak awalnya sudah menunjukkan kebolehannya dalam keilmuan.

Beliau seorang ahli Fakeh yang menguasai selok belok ilmu fekah dan memiliki kekuatan ijtihad. Ini melayakkan beliau memiliki jutaan orang untuk bertaqlid kepadanya dalam bidang fekah di seluruh dunia. Beliau juga adalah pakar bidang Usul Fekah yang merupakan cabang penting dalam mengeluarkan hukum-hukum fekah. Beliau juga adalah seorang Ahli Falfasah yang mengusai seluruh pandangan falsafah barat dan timur. Dalam menghargai para falsafah Yunani, beliau meletakan kedudukan Ahli Falsafah Islam seperti Al Farabi, Ibnu Sina dan terutamanya Mulla Sadra di kedudukan yang tinggi, malah beliau yang condong kepada Falsafah Hikmah Muta’aliyah Mulla Sadra tetap memiliki pandangan yang berbeza dalam beberapa perbahasan.

Dalam bidang Irfan pula, Imam bukan saja memiliki ilmu sahaja tetapi disertakan dengan pengamalannya, sesuatu yang jarang dimiliki oleh banyak orang. Beliau juga seorang penafsir Al Quran yang hebat. Tafsiran Basmallah dan Surah Al Fatiha beliau jelas menujukkan akan kehebatan beliau tentang ilmu tafsir. Beliau juga adalah seorang guru akhlak yang amat luar biasa, bukan saja dalam penguasaan ilmu akhlak tetapi pada amalan seharian beliau. Beliau juga seorang pakar dalam bidang metamatik dan reka bentuk. Tidak kurang hebatnya, beliau juga adalah seorang penyair yang hebat dan syair-syair sentuhan beliau menjelaskan akan tingginya maqam Tauhid dan Irfan beliau.

Imam disini juga adalah seorang mujtahid yang sempurna, yang memiliki kepakaran dalam semua bidang. Seluruh ilmu tersebut terkumpul dalam dirinya. Hari ini ribuan ulama besar di seluruh pelusuk dunia, pernah belajar dengan beliau atau belajar melalui murid beliau.

Imam menghabiskan puluhan tahun dalam belajar dan mengajar di kota Qom, itu kota ilmu bagi pengikut Ahlu Bait. Sebagai seorang mujtahid yang lengkap, Imam dilengkapi lagi dengan kekuatan politik dan kepekaan terhadap apa yang sedang berlaku dan yang akan berlaku.

Seumur hidupnya beliau tidak pernah menubuhkan sebarang parti atau mengikut mana-mana parti politik untuk berpolitik. Imam sering menegaskan bahawa agama kita itu adalah politik kita dan politik kita adalah agama kita. Sejak awal lagi beliau telah menegaskan akan bahayanya pengaruh Amerika dalam dunia Islam. Dan sejak awal lagi beliau telah mengingatkan bahawa masalah Pelestin adalah masalah umat Islam. Beliau telah menyampaikan pesan-pesan politik tentang bahaya Amerika dan masalah Pelestin pada musim Haji, jauh sebelum kemenangan Revolusi Islam di Iran.

Pergerakan Imam bermula di Hauza Ilmiah Qom. Ribuan murid telah dididik oleh beliau tetapi apakah beliau mengadakan kuliah-kuliah politik atau ceramah-ceramah politik untuk membentuk keder-keder pengerak? Tidak! dan itulah yang hebat tentang Imam, beliau mendidik murid-muridnya dengan kelas-kelas Fekah, Usul fekah, Tauhid, Falsafah, Irfan dan Akhlak. Malah kelas akhlak beliau beberapa kali dihalang oleh pihak Savak, polis khas Shah Iran ketika itu. Kelas akhlak Imam menghidupkan jiwa, Imam tidak perlu kepada slogan-slogan untuk meyedarkan manusia akan tanggung jawab mereka, Imam menyedarkan mereka bahawa apa tanggung jawab meraka terhadap Allah dengan sentuhan maknawi. Sering kali suara tangisan murid-murid beliau kedengaran dari kelas akhlak beliau terutama apabila Imam menyentuh tentang kiamat dan ahkirat. Syahid Mutahari mengatakan bahawa kelas akhlak Imam itu menghidupkan jiwa, dan dia sering tidak sabar menunggu hari Khamis dan Jumaat untuk menghadirkan diri dalam kelas tersebut. Adalah satu yang pelik apabila kelas akhlak beliau digeruni oleh polis rahsia Shah. Kitab 40 hadis Imam Khomeini adalah antara peninggalan dari kelas akhlak beliau, yang bermula dengan perbahasan jihad akhbar iaitu jihad melawan hawa nafsu.

Imam mengatakan bahawa dalam Islam perjuangan itu sendiri bukan tujuan tetapi merupakan wasilah kepada tujuan, jika tujuan itu bukan kerana Allah, maka perjuangan itu akan menjadi perjuangan syaitan atau hawa nafsu. Oleh itu Imam mengatakan bahawa perjuangan itu perlu bermula dari diri sendiri, dari individu, bermula dengan memerangi hawa nafsu, mengusai diri dari dikuasai oleh hawa nafsu, lalu individu itu membentuk masyarakat dan masyarakat ini akan menjadi masyarakat yang soleh.

Imam sentiasa meletakan Tauhid sebagai asas dan tujuan pergerakannya. Berbekal kepada Tauhid, perjuangan itu merupakan satu tanggung jawab yang wajib dilaksanakan. Imam sering mengatakan bahawa tugas kita adalah melaksanakan tanggung jawab, natijahnya bukan urusan kita, ia adalah urusan Allah. ‘Setiap seorang dari kita diperintahkan untuk melaksanakan tanggung jawab bukan diperintahkan untuk natijah’.

Imam pernah juga mengatakan ‘Revolusi Islam berlandaskan kepada Tauhid dan asas ini akan melindungi setiap urusan masyarakat’. Imam juga banyak kali mengulangi bahawa Revolusi dan Republik Islam Iran adalah wasilah bukan tujuan kerana tujuan adalah Allah.


Imam tidak pernah berkompromi tentang masalah Tauhid, jika ada orang yang cuba memiliki tujuan pergerakan yang berbeza, Imam akan menjauhkan orang itu dari pejuangannya. Imam sentiasa akan menerangkan tujuan dan arah perjuangannya dan membezakan antara hak dan batil dan antara Islam Muhammad dan Islam Amerika.

Selama 30 tahun perjuangan Imam sehingga kemenangan Revolusi Islam, sememangnya menjadi kemenangan kepada golongan tertindas yang sebagaimana kata Imam, kemenangan darah, gologan yang tidak memiliki kekuatan persenjataan tetapi yang mereka miliki hanyalah Tauhid. Imam juga sering mengatakan bahawa kemenangan Revolusi Islam di Iran adalah kerana kekuasaan Allah.

Imam mendidik kecintaan kepada Allah dalam perjuangannya. Cinta kepada yang Abadi dan memindahkan penghambaan kepada selain Allah kepada Allah. Ketika seseorang melihat keAgongan Allah, yang lain akan menjadi kecil. Imam adalah jelmaan manusia Tauhid, Insan Kamil dan Insan Ilahi. Segala tindak tanduknya berasaskan kerehdaan dan kemurkaan Allah.

Di tengah-tengah dunia seakan melihat bahawa tidak ada Negara yang boleh lepas dari pengaruh Amerika dan Rusia, muncul Imam dengan jalan yang akan menyelamatkan manusia dari penghambaan meterialistik. Sayid yang mulia ini, dari keturunan Rasulullah sememangnya berhak untuk dicontohkan dengan Rasulullah yang muncul membawa obor kebenaran pada puncak keegoan empayar Rom dan Farsi.

Hari ini kita mengingati Imam, bukan kerana dia sudah tidak bersama kita tetapi untuk menghidupkan dan menguatkan perjuangan Imam dalam diri kita. Walau hampir 20 tahun beliau telah meninggalkan alam fana ini tetapi kesan keberadaannya sentiasa bersama kita dan sentiasa kita merasakan seakan Imam sedang berbicara dengan kita dan menunjukkan kita jalan untuk melaksanakan tanggung jawab kita hari ini. Kita semua adalah putera-putera Imam yang didik dengan Tauhid oleh beliau, kita dibesarkan dengan cinta kepada Allah oleh beliau dan kita digerakkan dengan akhlak beliau didalam perjuangannya.

Semoga kita semua akan bersama dengan beliau di sisi datuk-datuk beliau, Rasulullah dan Ahlu Bait yang suci.
Bookmark and Share

Selasa, 17 Jun 2008

KELAS MINGGU KE EMPAT

RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM ALI ZAINAL ABIDIN
Nama : Ali
Gelaran : Zainul Abidin , As Sajjad
Panggilan : Abu Muhammad
Lahir : Sabtu, 15 Jamadiul Awwal, 36 Hijrah
Nama ayah : Hussin bin Ali
Nama ibu : Shah Banu (Shah Zanan) puteri Raja Yazdigard ke II, Farsi
Syahadah : Pada umur 58 tahun pada 21 Muharam, tahun 95 Hijrah
Tempoh Imamah : 34 tahun
Maqam : Jannatul Baqi, Madinah
Imam selepasnya : Imam Muhammad Al Baqir
Imam yang ke4 ialah Imam Ali bin Hussin a.s., ia juga terkenal dengan gelaran Zianal Abidin dan As Sajjad. Ibunya ialah Shah Banu puteri Raja Farsi. Semasa hayatnya, keilmuan, ibadah dan sifat-sifat mulia yang beliau miliki tiada tandingan sama sekali. Beliau juga terkenal dengan sifat pengasih dan suka membantu yang susah. Ramai orang datang dan menimba ilmu darinya. Doa-doa Imam yang terkumpul dalam kitab Syaifah Sajjadiah masih terpelihara hingga hari ini.
Imam akan keluar pada gelapan malam, dan akan memikul beg yang dipenuhi dengan wang dan adakalanya makanan dan kayu bakar, untuk dibahagikan kepada yang memerlukan. Ia akan mengetuk rumah-rumah orang susah dan memberi mereka apa yang ia miliki. Imam akan menutup wajahnya supaya ia tidak dikenali. Setelah kewafatannya, barulah orang-orang susah di Madinah tahu bahawa yang membantu mereka selama ini ialah Imam Ali Zainal Abidin.
Imam lebih gemar duduk dan makan bersama orang-orang susah, anak-anak yatim dan orang-orang cacat. Tingkah lakunya sentiasa menjadi contoh.

Setiap bulan ia akan mengumpulkan hamba sahayanya seraya berkata kepada mereka, ‘Apakah ada dikalangan kalian yang ingin menikah, aku akan menikahkannya dan jika ada dikalangan kalian yang ingin bebas, aku akan membebaskannya’.
Setiapkali orang datang untuk memohon bantuan darinya, Imam akan berkata ‘Selamat datang wahai yang akan membantuku mengumpul tabungan akhiratku’.
Imam terkenal dengan ibadahnya dan sentiasa mendirikan solat seribu rakaat pada tiap-tiap malam. Setiap kali mahu mendirikan solat, Imam akan mengeletar dan wajahnya bertukar pucat kerana takut kepada Allah. Imam juga dikenali sebagai ‘Zuth Thafanah’ itu orang yang memiliki lutut yang tebal. Gelaran ini diberikan kepada Imam kerana beliau begitu banyak sujud hingga kulit didahi, lutut dan tapak tangan menjadi tebal, hingga menyebabkan setiap enam bulan, Imam terpaksa mengikis kulit-kulit tebal yang mati itu. Banyaknya Imam bersujud menyebabkan beliau digelar sebagai As Sajjad iaitu yang banyak bersujud.
Setiap kali ia mengingati Allah dan keAgunganNya, Imam akan jatuh dan bersujud. Setiap kali beliau selesai berwudhuk untuk solat, beliau akan bersujud. Orang-orang pada zamannya mengatakan ‘kami tidak melihat seorang Quraish lebih baik darinya’.
Pernah seorang dari keluarga Imam menghina Imam, Imam mendengar kata-kata orang tersebut tanpa orang itu sedari. Selang berapa waktu, Imam pergi ke rumah orang tersebut, orang-orang yang berada di sana menyangkakan Imam akan membalas hinaan orang tersebut, tapi itu tidak berlaku, malah Imam membaca ayat Al Quran
“Mereka-mereka yang mengawal kemarahannya dan memaafkan yang lain, Allah adalah wali kepada mereka yang membuat baik” Ali Imran – 134.
Lalu Imam berkata kepadanya, ‘Wahai saudaraku, kau menyerangku dan mengatakan apa yang kau suka, jika apa yang kau katakan itu benar, moga-moga Allah mengampunkan aku, tetapi jika apa yang kau katakan itu salah, moga-moga Allah mengampunkan kau’.


USULUDIN
PELAJARAN 4 : SIFAT-SIFAT SALBIAH

Sifat-sifat salbiah adalah sifat-sifat yang mustahil bagi Allah dan tidak bakal akan ada pada Allah.

1. Murakkab : ertinya Allah bukan terbentuk dari bahagian baik secara
fikiran atau material.

2. Jism : Allah bukan dalam bentuk tubuh atau memiliki jisim,
malah Ia berada dimana-mana dan Ia Maha berkuasa dan
IlmuNya penuh dengan Hikmah lagi Bijaksana.

3. Makan : Allah tidak berada pada satu tempat malah Ia tidak
memiliki tempat, Ia berada di mana-mana.

4. Mutaj : Allah tidak memerlukan kepada apa pun, Ia terlepas dari
apa juga sebab dan sifat memerlukan.

5. Mar’ie : Allah tidak boleh dilihat, baik dalam dunia ini mahupun
di ahkirat nanti.

6. Mahal Tidak berlaku perubahan pada Zat Allah, Allah
Hawadith: menjangkau waktu dan tempat.

7. Sharik : Allah tidak memiliki pasangan dalam mentadbir Alam
ini.


SEJARAH

PELAJARAN 4

Wahyu Pertama
Apabila Nabi Muhammad mencapai usia 40 tahun, beliau telah dipilih dan diangkat oleh Allah SWT sebagai Rasul Nya. Pada suatu hari, ketika beliau sedang melakukan ibadah di gua Hira, beliau telah didatangi oleh Malaikat Jibrail a.s. membawa wahyu dari Allah lalu menegurnya: "Iqra! Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari gumpalan darah. Bacalah dengan nama Tuhan Mu Yang Maha Mulia. Dialah yang mengajarkan ilmu dengan ‘pena’nya. Dialah yang telah mengajarkan kepada manusia akan segala yang tidak diketahuinya."
Semenjak itu, Muhammad telah membawa risalah Allah sebagai Rasulullah SAW untuk umat manusia di seluruh dunia. Di awal kenabiannya, Rasulullah berdakwah secara senyap-senyap. Pada ketika itu, hanya beberapa orang sahaja yang mahu menerima Islam. Orang pertama yang mengakui Muhammad sebagai Rasulullah SAW ialah isterinya Khadijah, kemudian disusuli oleh sepupunya, Ali bin Abi Thalib.
Tiga tahun lamanya Islam terus menyebar di kalangan rakyat miskin kota Mekah. Setelah itu, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk melakukan dakwahnya secara terang-terangan, dengan mengajak manusia menyembah Tuhan Yang Esa dan bermulah perang suci melawan para penyembah berhala.

Tugas dakwah beliau penuh dengan risiko dan bahaya. Ini adalah kerana para pemimpin kabilah ketika itu telah sekian lama menikmati kedudukannya dan menjadikan orang-orang sebagai hamba abdinya. Mereka bimbang dengan dakwah Rasulullah SAW itu akan mengoyangkan kekuasaan mereka. Dakwah beliau juga menemui banyak kesulitan kerana berhala-berhala itu telah sekian lama menjadi penyembahan mereka.

Rasulullah SAW tidak sama sekali bertolak ansur dalam urusan ini. Beliau memikul tugas ini dengan penuh tanggungjawab bagi tujuan mengEsakan Allah dan menegakkan Tauhid.

Oleh kerana itu, masyarakat yang sebelum ini menghormati beliau sudah mula membenci dan memusuhinya serta hartanya..Permusuhan mereka berlanjutan dengan penyiksaan dan merosakkan harta benda milik Nabi SAW. Namun begitu, usaha-usaha mereka itu tidak berhasil dan terus menemui kegagalan untuk menahan dakwah suci beliau.

Kaum kafir Makkah tidak pernah letih untuk mengubah pendirian Rasulullah SAW. Mereka meningkatkan permusuhannya dengan mengusir beliau beserta keluarga dan sahabatnya keluar dari Mekah dengan mengurung mereka di ladang Abu Thalib. Didalam pengurungan, kaum kafir memperketatkan sekatan sehingga tiada makanan dan minumanpun dapat ditembusI kedalamnya sehingga menyebabkan ada diantara mereka mati kebuluran. Ada pengikut Nabi yang diluar telah mempertaruhkan nyawa mereka dengan menyeludupkan makanan pada waktu malam.

Waktu berlalu, kaum kafir telah tewas dengan keteguhan dan kegigihan yang ditunjukkan oleh kaum muslimin. Akhirnya mereka memutuskan untuk membunuh Rasulullah SAW.
Bookmark and Share

KELAS MINGGU KETIGA

RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM HUSSIN A.S.
Nama – Hussin
Gelaran – Syahid
Panggilan – Abu Abdillah
Lahir – Selasa, 3 Syaaban, tahun 4 Hijrah
Nama Ayah – Imam Ali Bin Abi Talib
Nama Ibu – Fatimah Az Zahra binti Rasulullah
Syahdah – pada umur 57 tahun, 10 Muharam , tahun 61 hijrah
Tempoh Imamah – 11 tahun
Maqam – Karbala, Iraq
Imam selepasnya – Imam Ali Zaianl Abidin
Imam Hussin ialah Imam yang ketiga selepas ayahnya Imam Ali as. dan abangnya Imam Hassan as. Dan selepasnya ada 9 orang Imam dari keturunannya.
Imam dilahirkan di Madinah, tiga tahun selepas Hijrah. Ia syahid pada tahun 61 Hijrah di Karbala dalam keadaan teraniaya dan kehausan. Ia dikebumikan di Karbala di mana maqamnya menjadi tumpuan penziarah pada sepanjang zaman.
Keutamaan Imam tidak terhitung banyaknya. Ia adalah ‘Bunga Rasulullah’ sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah “puteraku Hassan dan Hussin adalah bunga-bungaku di dunia ini’ Rasulullah menambah lagi “Hussin dariku dan Aku dari Hussin”. Ia juga bersabda “Hassan dan Hussin adalah Imam, baik ketika mereka berdiri atau duduk’.
Imam memiliki akhlak yang terpuji dan banyak beribadah kepada Allah. Sebagaimana ayahnya, Imam biasa mendirikan solat malam sebanyak seribu rakaat.
Imam biasa memenuhkan guni dengan makanan dan memikulnya untuk diberikan kepada yang memerlukan. Ia adalah orang yang amat pemurah dan lunak kepada orang lain tetapi Imam tidak sekali-kali berkompromi dengan orang yang melanggar hukum Allah.
Sebagai contoh akan sifat kedermawan Imam, adalah ketika datang seorang arab kepadanya untuk memohon bantuan Imam untuk menyelesaikan masalahnya, orang Arab tersebut ketika bertemu Imam, langsung membaca sebuah syair.“Tiada siapa yang akan pulang kosong setelah mengetuk rumahmu dengan harapan dan simpati, kau adalah pemurah yang boleh diandalkan, ayahmu adalah penebas para kufar, jika tidak apa yang kami terima dari datukmu, pasti kami akan dibakar ke dalam api neraka”
Ketika Imam Hussin mendengar syair tersebut, ia memberikan orang Arab itu empat ribu dinnar dan berkata “Maafkan kami kerana hanya dapat membantu kamu dengan jumlah itu, jikalah baitul mal berada ditangan kami pasti kami akan memberikan lebih dari itu tetapi waktu telah mengkianati kami dan hanya sedikit yang ada ditangan”.
Agama Islam yang dibawa oleh datuknya Rasulullah saaw diselamatkan oleh keberanian dan pengorbananya. Malah dengannya Islam dapat berlangsung hingga kini. Adalah tepat gelarannya adalah Sayidul Syuhada iaitu pemimpin para syuhada.
Soalan:-
1. Kisahkan peristiwa kelahiran Imam Hussin a.s.
2. Kisahkan satu peristiwa sedih ketika Imam Hussin masih kecil ketika dengan Rasulullah
3. Apakah nama lain untuk Karbala?
4. Nyatakan nama-nama putera Imam Hassan dan Imam Hussin di Karbala dan nama sebenar Ali Asgar.
5. Sebutkan 5 nama wanita yang hadir dalam peristiwa Karbala.

USULUDIN

PELAJARAN 3 : SIFAT-SIFAT SUBUTIYAH

Sifat-sifat SUBUTIYAH ialah sifat yang ada pada Allah, dan antara sifat-sifat Allah adalah sebagaimana yang berikut:-

1. QADIM ertinya Allah itu Abadi, tiada awal dan akhir untukNya. Ia ada sebelum adanya yang lain. Ialah yang menjadikan semua benda dan semua benda ini akan berakhir manakala Ia akan tetap kekal.

2. QADIR ertinya Allah itu Berkuasa. Ia berkuasa atas setiap sesuatu dan atas setiap yang berlaku seperti penciptaan, kekal, mematikan, memberi nyawa dan lain-lain.

3. ALIM ertinya Allah itu Berilmu dan mengetahui setiap sesuatu, besar atau kecil, walau apa yang kita inginkan yang terselidung dalam hati kita. Tiada satu pun yang tersembunyi dari Ilmu Allah.

4. HAYY ertinya Allah itu Hidup dan Abadi.

5. MURID (Iradah) ertinya Allah Memiliki keinginanNya dan laranganNya sendiri. Segala seluruh keinginanNya adalah baik dan membina dan yang tidak itu, buruk dan menghancurkan. Seluruh perbuatannya berasaskan kehendakNya dan tiada apapun yang boleh mengalahkanNya.

6. MUDRIK ertinya Allah Merasakan, Ia juga Maha Mendengar dan Maha Melihat. Ia Ada di mana-mana. Ia melihat dan mendengar tanpa perlu mata dan telinga. Ia mengetahui setiap apa yang berlaku walau bisikan hati sekalipun.

7. MUTAKALIM ertinya Allah Mencipta Kata-Kata pada apapun jua. Ia adalah Pemilik alam. Ia akan berbicara dengan siapa yang ia kehendaki dari hamba-hambaNya seperti para Rasul dan Malaikat. Cara Allah berkata-kata dengan ia mencipta kata-kata pada apapun seperti pada pokok ketika berbicara dengan Rasulullah dan cahaya ketika dengan Rasulullah.

8. SADIQ ertinya Allah Benar dalam semua kata-kataNya dan janjiNya.

SEJARAH
PELAJARAN 3
Pada suatu waktu, bapa saudara Muhammad, Abu Thalib, , menasihati beliau untuk ikut berniaga dengan kafilah perniagaan Khadijah, seorang wanita Makkah yang kaya dan terhormat. Kemudian, Muhammad pun ditunjukkan untuk memimpin kafilah perniagaan tersebut.
Selama bergabung dalam kafilah perniagaannya, Khadijah amat tertarik dengan kejujuran, keteguhan, dan keutamaan perilaku yang ada pada Muhammad. Tanpa rasa segan, Khadijah melamarnya. Muhammad menerima lamaran itu dan tidak lama kemudian, mereka pun melangsungkan pernikahan.
Dari pernikahan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang diberikan nama Fatimah, yang dari keturunannya lahirlah manusia-manusia suci.
HAJAR ASWAD (Batu Hitam)
Sepuluh tahun setelah pernikahan itu, kota Mekah dilanda banjir besar yang merosak sebahagian besar bangunan Kaabah. Warga kota bermaksud untuk memperbaikinya.
Untuk mencegah kekacauan yang bakal terjadi, pembaikan itu dilakukan secara gotong-royong oleh berbagai suku yang ada di kota. Tatkala perbaikan telah selesai, tibalah masanya untuk meletakkan Hajar Aswad. Ketika itu, masing-masing bangsa mengaku merekalah paling berhak untuk meletakkan batu itu sehingga perang hampir berlaku. Lalu muncul Muhammad dan memberikan satu usul. Beliau menanggalkan jubahnya dan meletakkan Hajar Aswad tepat di tengah-tengahnya dan meminta setiap kepala suku memegang tepi jubah itu kemudian membawanya bersama-sama ke tempat asalnya.
Bookmark and Share

KELAS MINGGU KE DUA

RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM HASSAN A.S
Nama – Hassan
Gelaran – Al Mujtaba
Panggilan – Abu Muhammad
Lahir – 15 Ramadhan tahun 3 hijrah
Nama Ayah – Imam Ali Bin Abi Talib
Nama Ibu – Fatimah Az Zahra binti Rasulullah
Syahadah – pada umur 46 tahun, 28 safar, tahun 50 hijrah
Tempoh Imamah – 10 tahun
Maqam – Jannatui Baqi, Madinah
Imam selepasnya – Imam Hussin bin Imam Ali
Imam yang kedua ialah Imam Hassan putera kepada Imam Ali as. Ibunya ialah Fatimah Az Zahra binti Rasulullah. Imam Hassan ialah cucu pertama Rasulullah dan Imam yang kedua selepas ayahnya Imam Ali.
Imam Hassan dilahirkan di Madina pada hari Selasa, 15 ramadhan, 3 tahun selepas hijrah. Beliau syahid diracun oleh salah seorang isterinya, pada 28 safar, 50 hijrah. Majlis kebumiannya dilakukan oleh adiknya Imam Hussin,yang juga Imam selepasnya. Imam Hassan dimaqamkan di Janntaul Baqi, Madina.
Imam adalah seorang yang banyak beribadah dan tiada tandingannya pada zamannya. Ia amat meyerupai datuknya Rasulullah. Ia adalah seorang yang berakhlak mulia dan suka membantu orang lain yang dalam kesusahan.
Pernah satu hari, salah seorang hamba sahaya perempuan Imam menghadiahkan sejambak bunga kepadanya. Imam mengatakan kepadanya, ‘kamu bebas kerana Allah’ dan Imam melanjutkan lagi ‘ketika kamu diberi, sebagai balasan berikan yang terbaik atau sama dengannya’.
Antara contoh kemuliaan Imam adalah ketika seorang dari Syam datang ke Madinah dan ketika bertemu dengan Imam, ia mula melemparkan kata-kata kejian terhadap Imam. Imam tidak mengatakan apa-apa pun. Setelah selesai mencaci maki Imam, Imam pun menghampirinya dan mengucapkan salam kepadanya dan berkata kepadanya dengan senyuman, ‘wahai saudaraku, kau pasti orang asing di sini dan kau tidak mengenalku. Oleh itu jika kau menghadapi apa saja kesusahan, aku akan membantumu, jika kau mahukan apapun akan aku penuhi, jika kau ingin pergi kemana-mana akan aku bawa, jika kau lapar, kau boleh menjadi tetamuku, jika kau tidak memiliki pakaian, aku akan berikan, jika kau rasa kesunyian, aku akan menemanimu”
Setelah orang Sham tersebut mendengar kata-kata Imam, dia menangis dah berkata ‘aku bersaksi kau adalah khalifah Allah di atas muka bumi dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui kepada siapa Ia menurunkan risalahNya”.
Rasulullah pernah bersabda “barang siapa yang ingin melihat wajah pemimpin pemuda ahli syurga, lihatlah kepada puteraku Hassan”. Dihadis yang lain Rasulullah bersabda “sesiapa yang cintaiku, ia juga patut mencintainya (Imam Hassan)”.
Imam Hassan telah mengerjakan Ibadah haji sebanyak 25 kali dengan berjalan kaki.
Salah sorang dari sahabat Rasulullah menungkilkan, satu hari Imam Hassan berjalan dan bertemu dengan beberapa orang sahabat Rasulullah, Imam memberi salam kepada mereka dan mereka menjawab salamnya dan setelah itu Imam pun berlalu pergi. Ada seorang dari sahabat Rasul yang tidak mengenal Imam, apabila diberitahu yang tadi itu adalah Imam Hassan, ia dengan bersegera mengejar Imam. Setelah bertemu Imam ia pun berkata ‘salam ke atas mu wahai maula ku’. Sebahagian orang bertanya kepada sahabat Rasul itu, kenapa memanggil Imam dengan perkataan maula ku. Ia mennjawab ‘aku mendengar Rasulullah bersabda “sesungguhnya puteraku ini (Imam Hassan) adalah pemimpin (maula)”
Soalan:
1. Apakah makna Al Mujthaba?
2. Kenapa Imam Hassan dipanggil dengan Abu Muhammad?
3. Sham sekarang ini terletak di negara mana?
4. Siapakah yang merancang pembunuhan Imam Hassan dan ceritakan peristiwa itu?
5. Kisahkan secara ringkas proses pemakaman Imam Hassan?

USULUDDIN (Asas-Asas Agama-Akidah)

Pelajaran 2

Adanya alam ini menunjukan bukti bahawa Allah itu ada dan Allah jugalah yang mengatur alam ini. Allah adalah Esa dan tidak memiliki sekutu dalam menjadikan dan mengatur alam ini.

Antara jalan untuk mengenal Allah adalah dengan sifat-sifatNya. Sifat-sifat yang ada pada Allah dipanggil sebagai sifat Subutiyah manakala sifat yang mustahil bagi Allah dipanggil sebagai sifat Salbiyah.

Sifat-sifat Subutiyah Allah ialah:
1. Qadim
2. Qadir
3. Hayy
4. Alim
5. Murid-Iradah
6. Mudrik
7. Mutakalim
8. Sadiq

Sifat-sifat Salbiyah Allah ialah:
1. Murakkab
2. Jism
3. Makaan
4. Mohtaj
5. Mar’ie
6. Mahal Hawadith
7. Sharik


Sifat-sifat ini akan diterangkan dalam perbahasan yang akan datang.

PERBAHASAN FURUUDIN SILA RUJUK BUKU MARILAH SOLAT KELUARAN ALMUNTAZAR RESOUCES

SEJARAH
PELAJARAN 2
Bangsa Quraisy
Bangsa Quraisy dipandang sebagai salah satu bangsa yang dihormati dan disegani di antara bangsa-bangsa yang ada di semenanjung Arabia. Quraisy sendiri terbahagi kepada berbagai suku. Bani Hasyim adalah salah satu suku terhormat di antara suku-suku yang ada. Qushai bin Kilab adalah nenek moyang mereka yang bertugas sebagai penjaga Ka'bah. Di tengah warga Makkah, Hasyim dikenal sebagai orang yang mulia, bijaksana, dan terhormat. Ia banyak membantu mereka, memulai perniagaan pada musim dingin dan musim panas supaya mereka mendapatkan penghidupan yang layak. Atas jasa-jasanya, warga kota memberinya julukan "Sayid" (tuan). Julukan ini secara turun-temurun disandang oleh anak keturunan Hasyim. Setelah Hasyim, kepemimpinan bangsa Quraisy dipercayakan kepada anaknya yang bernama Muthalib, kemudian dilanjutkan oleh Abdul Muthalib.
Abdul Muthalib adalah seorang yang berwibawa. Pada masanya, Abrahah Al-Habasyi menyerbu Makkah untuk menghancurkan Ka'bah, namun berkat pertolongan Allah SWT, Abrahah dan pasukan gajahnya mengalami kekalahan. Tahun penyerbuan itu kemudian dikenal dengan nama Tahun Gajah. Dan sejak peristiwa itu, nama Abdul Muthalib pun semakin terpandang di kalangan kabilah Arab.
Abdul Muthalib mempunyai beberapa anak. Di antara mereka, Abdullah adalah anak yang paling saleh dan paling dicintainya. Pada usia 24 tahun, Abdullah menikah dengan perempuan mulia bernama Aminah.
Dua bulan setelah Tahun Gajah, Aminah melahirkan seorang anak. Ia memberinya nama Muhammad. Sebelum kelahiran Muhammad, ayahnya Abdullah meninggal dunia. Tidak lama setelah melahirkan, sang ibu pun menyusul suaminya kembali ke alam baka. Maka, sejak awal kelahirannya, Muhammad sudah menjalani hidupnya sebagai anak yatim piatu.
Setelah ditinggalkan oleh kedua orang tua yang dicintainya, Muhammad diasuh oleh datuknya sendiri, Abdul Muthalib. Berkat anugerah dan rahmat dari Allah SWT, Muhammad tumbuh menjadi dewasa dengan kesucian jiwa yang terpelihara.
Warga kota Makkah begitu mencintainya, bahkan merelakan barang-barang mereka berada di bawah pengawasan Muhammad. Atas kejujuran dan sifat amanah yang ditunjukkannya, mereka memberinya gelaran "Al-Amin", yakni orang yang tepercaya.
Dengan bekal iman yang teguh, Muhammad membantu orang-orang fakir, membela orang-orang yang tertindas, membahagikan makanan kepada mereka yang lapar, mendengarkan keluhan-keluhan mereka, dan berusaha memberikan jalan keluar atas masalah-masalah yang mereka hadapi.
Bookmark and Share

Rabu, 11 Jun 2008

Kelas Minggu Pertama

RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM ALI A.S.

Nama – Ali
Gelaran – Al Murtadha, Amirul Mukminin, Abu Turab, Asadullah
Panggilan- Abul Hassan
Lahir – Jumaat 13 Rajab, dalam Kabaah yang suci.
Nama ayah – Abu Talib bin Abdul Mutalib
Nama ibu – Fatimah binti Asad
Syahadah – pada umur 63 tahun, 21 Ramadhan 40 Hijrah
Maqam – di Najaf Ahsraf, Iraq
Tempoh Imamah – 30 tahun
Imam pengganti – Imam Hassan Al Mujtaba
Imam Ali adalah Imam kita yang pertama. Ia adalah putera kepada Abu Talib, pemimpin kota Mekah. Ibunya adalah Fatimah binti Asad. Beliau juga adalah sepupu Rasulullah dan berkawin dengan Fatimah Az Zahra puteri Rasulullah. Imam Ali dibesarkan oleh Rasulullah sendiri.
Imam syahid pada hari 21 Ramadhan akibat ditetak dengan pedang beracun oleh Ibnu Muljam ketika Imam sedang ruku melaksanakan solat subuh pada 19 Ramadhan 40 Hijrah. Ia dikebumikan oleh puteranya Imam Hassan dan Imam Hussin di Najaf Ahsraf. Maqamnya kini adalah tempat ziarah para pencintanya dan merupakan pusat keilmuan Ahlul Bait.
Imam adalah seorang yang terhormat dan memiliki keperibadian yang agung. Ia adalah orang yang pertama memeluk agama Islam. Ia juga tidak pernah kalah dalam pentempuran yang ia sertai dan tidak pernah melarikan diri dari pentempuran.
Antara kehebatan peribadi Imam yang tersohor ketika Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya “hakim yang terbaik dikalangan kalian adalah Ali”.
Tentang ilmu Imam Ali yang tidak terbatas, Rasulullah bersabda “aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya”. Hadis ini terang menyebutkan, barang siapa yang mahukan ilmu Rasulullah hendaklah melalui Ali.
Hubungan Ali dengan kebenaran amat jelas sekali dalam sabda Rasulullah “Ali bersama hak dan hak bersama Ali”.
Imam ketika memerintah, ia amat menyayangi masyarakatnya, ia tidak berpihak dalam seluruh hal dan sentiasa adil dalam hukumnya. Pernah ketika ia melawat Baitul mal dan melihat seluruh emas dan perak yang ada, ia berkata “wahai kuningan dan wahai putihan, godalah selain aku”.
Ia amat mengasiani yang miskin dan sentiasa duduk bersama mereka. Imam sentiasa bersandarkan kepada kebenaran dan adil dalam menghukum. Imam menjelmakan sifat Rasulullah dalam dirinya, malah Al Quran menyebutkannya sebagai “diri Rasulullah”.
Soalan
1. Apa makna Al Murtadha, Amirul Mukminin, Abu Turab dan Asadullah?
2. Kenapa Imam dipanggil Abul Hassan?.
3. Ketika memerintah, Imam menjadikan kota apa sebagai pusat pentabirannya?
4. Apa makna Baitul Mal?
5. Dalam ayat apa dan surah apa Imam dipanggil sebagai “diri Rasulullah” dan perisitiwa itu dikenali sebagai apa?

MAKNA ISLAM

Islam ialah perkataan Arab yang memberi erti menyerah dan patuh. Dalam Agama Islam, Islam memberi erti penyerahan dan kepatuhan penuh kepada kehendak Allah. Islam adalah jalan hidup dan dengannya Allah pencipta alam mengatur kehidupan manusia.

Allah mengirim para RasulNya dari kalangan manusia untuk menyampaikan syariat Allah supaya mereka dapat memberi hidayah kepada manusia ke arah jalan yang lurus. Jalan yang benar ini adalah Islam, agama yang disampaikan oleh seluruh Rasul Allah. Para Rasul itu dan pengikut mereka dipanggil sebagai muslim ketika mereka menyerahkan diri mereka kepada Allah.

Di dalam Al Quran Allah berfirman:
“Telah disyariatkan kepada mu dari agama sebagaimana di syariatkan kepada Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepada mu dan apa yang telah kami arahkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu berdirilah atas agama dan jangan berlepas darinya” (As Syura-13)

Memeluk Islam
Seseorang itu akan memeluk agama Islam dan menjadi seorang muslim ketika ia mengucapkan dua kalimah syahadah yang ertinya:-
“Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruhnya”

Seseorang Muslim adalah orang sudah tetap keyakinannya pada Allah yang Esa, Hari Ahkirat, Para Rasul, Malaikat, Kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah dan percaya apa yang diturunkan kepada Rasulullah itu benar.

Apapun dengan hanya mempercayai tidak cukup menjadikan seseorang itu muslim yang sempurna. Ia mestilah mengamalkan syariat yang diturunkan supaya ia akan bahagia di dunia dan ahkirat serta mendapatkan ganjaran syurga.

Ajaran Islam
Ajaran Islam boleh dibahagikan kepada 3 bahagian
1. Usuluddin
2. Furru’din
3. Akhlak


FURRU’DDIN (Cabang Agama – Fiqh)

Pelajaran 1

Furru’din ada 10 perkara, iaitu:

1. Solat
2. Saum – puasa
3. Haji
4. Zakat
5. Khumus
6. Jihad
7. Amr bil Ma’ruf – mengajak kepada kebaikan
8. Nahi anil Mungkar – mencegah kemungkaran
9. Tawalla – memperwalikan Rasulullah dan Ahlu BaitnyaTabarra – berlepas diri dari musuh Rasulullah dan Ahlu Baitnya


USULUDDIN (Asas-Asas Agama-Akidah)

Pelajaran 1

Asas yang paling petinng dalam ajaran Islam permasalahan akidah. Dalam akidah terdapat 5 perkara yang asas.

1. Tauhid
2. Adlah – keadilan Allah
3. Nubuah – kenabian
4. Imammah – kepimpinan selepas Rasulullah
5. Maad – Hari pembalasan

1. Tauhid
Tauhid ertinya adlaah keEsaan Allah. Ia bererti keyakinan bahawa seluruhnya diciptakan oleh Allah dan seluruhnya di bawah kekuasaanNYa.

Penciptaan, mengatur, keberlangsungan kejadian, memberi rezeki, mematikan, memberi kesihatan dan sakit semuanya di bawah kehendak Allah. Allah berfirman :
“Sesungguhnya urusanNya jika Ia berkehendakkan sesuatu, Ia hanya mengatakan jadi maka akan jadi”. (Surah Yasin, ayat 82)

Dalil-dalil keberadaanNya dapat kita saksikan pada alam ini, contohnya matahari yang bersinar, bulan yang mengambang, bintang-bintang yang bergemelapan, awan-awan yang berarak ditiup angin, hujan yang turun, sungai yang mengalir, lautan yang terbentang luas, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan manusia. Semua ini adalah tanda kewujudanNya dan sifat-sifatNya yang Agung

SEJARAH

Pelajaran 1

Sejarah dalam Islam dikenali dengan Sirrah. Sirrah ertinya perjalanan iaitu perjalanan hidup atau kisah orang-orang yang terdahulu. Mempelajari sejarah ertinya kita mempelajari kisah hidup orang-orang yang terdahulu dari kita.

Tujuan mempelajari sejarah

Mempelajari sejarah bukan hanya sekadar untuk tahu tentang kisah kehidupan orang-orang yang terdahulu dari kita tetapi ia memiliki tujuan-tujuan yang sebagaimana berikut:-
1. Mengetahui tamadun mereka.
2. Mengenal yang baik dari mereka dan yang jahat dari mereka.
3. Mengambil pelajaran dari kehidupan mereka.
4. Mengatur hidup kita dan masa depan kita.

Orang yang mempelajari sejarah adalah orang yang memiliki pegalaman yang banyak, sebanyak pengetahuannya tentang sejarah orang-orang yang terdahulu.

Sejarah dalam Islam

Sejarah dalam Islam dibahagikan kepada dua bahagian:-
1. Sebelum Zaman Rasulullah
2. Zaman Rasullullah Dan Selepasnya

Sejarah sebelum zaman Rasulullah adalah sejarah tentang Nabi-Nabi dan umat-umat yang terdahulu. Sejarah zaman Rasulullah dibahagikan kepada pecahan berikut.
1. Zaman Arab Jahiliah.
2. Kehidupan Rasulullah sejak lahir hingga wafat.
3. Zaman para Imam.
4. Zaman selepas ghaib Imam Mahdi.
Bookmark and Share