RENCANA SHABAB AL HUJJAT
SIRI IMAM
IMAM ALI A.S.
Nama – Ali
Gelaran – Al Murtadha, Amirul Mukminin, Abu Turab, Asadullah
Panggilan- Abul Hassan
Lahir – Jumaat 13 Rajab, dalam Kabaah yang suci.
Nama ayah – Abu Talib bin Abdul Mutalib
Nama ibu – Fatimah binti Asad
Syahadah – pada umur 63 tahun, 21 Ramadhan 40 Hijrah
Maqam – di Najaf Ahsraf, Iraq
Tempoh Imamah – 30 tahun
Imam pengganti – Imam Hassan Al Mujtaba
Imam Ali adalah Imam kita yang pertama. Ia adalah putera kepada Abu Talib, pemimpin kota Mekah. Ibunya adalah Fatimah binti Asad. Beliau juga adalah sepupu Rasulullah dan berkawin dengan Fatimah Az Zahra puteri Rasulullah. Imam Ali dibesarkan oleh Rasulullah sendiri.
Imam syahid pada hari 21 Ramadhan akibat ditetak dengan pedang beracun oleh Ibnu Muljam ketika Imam sedang ruku melaksanakan solat subuh pada 19 Ramadhan 40 Hijrah. Ia dikebumikan oleh puteranya Imam Hassan dan Imam Hussin di Najaf Ahsraf. Maqamnya kini adalah tempat ziarah para pencintanya dan merupakan pusat keilmuan Ahlul Bait.
Imam adalah seorang yang terhormat dan memiliki keperibadian yang agung. Ia adalah orang yang pertama memeluk agama Islam. Ia juga tidak pernah kalah dalam pentempuran yang ia sertai dan tidak pernah melarikan diri dari pentempuran.
Antara kehebatan peribadi Imam yang tersohor ketika Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya “hakim yang terbaik dikalangan kalian adalah Ali”.
Tentang ilmu Imam Ali yang tidak terbatas, Rasulullah bersabda “aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya”. Hadis ini terang menyebutkan, barang siapa yang mahukan ilmu Rasulullah hendaklah melalui Ali.
Hubungan Ali dengan kebenaran amat jelas sekali dalam sabda Rasulullah “Ali bersama hak dan hak bersama Ali”.
Imam ketika memerintah, ia amat menyayangi masyarakatnya, ia tidak berpihak dalam seluruh hal dan sentiasa adil dalam hukumnya. Pernah ketika ia melawat Baitul mal dan melihat seluruh emas dan perak yang ada, ia berkata “wahai kuningan dan wahai putihan, godalah selain aku”.
Ia amat mengasiani yang miskin dan sentiasa duduk bersama mereka. Imam sentiasa bersandarkan kepada kebenaran dan adil dalam menghukum. Imam menjelmakan sifat Rasulullah dalam dirinya, malah Al Quran menyebutkannya sebagai “diri Rasulullah”.
Soalan
1. Apa makna Al Murtadha, Amirul Mukminin, Abu Turab dan Asadullah?
2. Kenapa Imam dipanggil Abul Hassan?.
3. Ketika memerintah, Imam menjadikan kota apa sebagai pusat pentabirannya?
4. Apa makna Baitul Mal?
5. Dalam ayat apa dan surah apa Imam dipanggil sebagai “diri Rasulullah” dan perisitiwa itu dikenali sebagai apa?
MAKNA ISLAM
Islam ialah perkataan Arab yang memberi erti menyerah dan patuh. Dalam Agama Islam, Islam memberi erti penyerahan dan kepatuhan penuh kepada kehendak Allah. Islam adalah jalan hidup dan dengannya Allah pencipta alam mengatur kehidupan manusia.
Allah mengirim para RasulNya dari kalangan manusia untuk menyampaikan syariat Allah supaya mereka dapat memberi hidayah kepada manusia ke arah jalan yang lurus. Jalan yang benar ini adalah Islam, agama yang disampaikan oleh seluruh Rasul Allah. Para Rasul itu dan pengikut mereka dipanggil sebagai muslim ketika mereka menyerahkan diri mereka kepada Allah.
Di dalam Al Quran Allah berfirman:
“Telah disyariatkan kepada mu dari agama sebagaimana di syariatkan kepada Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepada mu dan apa yang telah kami arahkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu berdirilah atas agama dan jangan berlepas darinya” (As Syura-13)
Memeluk Islam
Seseorang itu akan memeluk agama Islam dan menjadi seorang muslim ketika ia mengucapkan dua kalimah syahadah yang ertinya:-
“Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruhnya”
Seseorang Muslim adalah orang sudah tetap keyakinannya pada Allah yang Esa, Hari Ahkirat, Para Rasul, Malaikat, Kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah dan percaya apa yang diturunkan kepada Rasulullah itu benar.
Apapun dengan hanya mempercayai tidak cukup menjadikan seseorang itu muslim yang sempurna. Ia mestilah mengamalkan syariat yang diturunkan supaya ia akan bahagia di dunia dan ahkirat serta mendapatkan ganjaran syurga.
Ajaran Islam
Ajaran Islam boleh dibahagikan kepada 3 bahagian
1. Usuluddin
2. Furru’din
3. Akhlak
FURRU’DDIN (Cabang Agama – Fiqh)
Pelajaran 1
Furru’din ada 10 perkara, iaitu:
1. Solat
2. Saum – puasa
3. Haji
4. Zakat
5. Khumus
6. Jihad
7. Amr bil Ma’ruf – mengajak kepada kebaikan
8. Nahi anil Mungkar – mencegah kemungkaran
9. Tawalla – memperwalikan Rasulullah dan Ahlu BaitnyaTabarra – berlepas diri dari musuh Rasulullah dan Ahlu Baitnya
USULUDDIN (Asas-Asas Agama-Akidah)
Pelajaran 1
Asas yang paling petinng dalam ajaran Islam permasalahan akidah. Dalam akidah terdapat 5 perkara yang asas.
1. Tauhid
2. Adlah – keadilan Allah
3. Nubuah – kenabian
4. Imammah – kepimpinan selepas Rasulullah
5. Maad – Hari pembalasan
1. Tauhid
Tauhid ertinya adlaah keEsaan Allah. Ia bererti keyakinan bahawa seluruhnya diciptakan oleh Allah dan seluruhnya di bawah kekuasaanNYa.
Penciptaan, mengatur, keberlangsungan kejadian, memberi rezeki, mematikan, memberi kesihatan dan sakit semuanya di bawah kehendak Allah. Allah berfirman :
“Sesungguhnya urusanNya jika Ia berkehendakkan sesuatu, Ia hanya mengatakan jadi maka akan jadi”. (Surah Yasin, ayat 82)
Dalil-dalil keberadaanNya dapat kita saksikan pada alam ini, contohnya matahari yang bersinar, bulan yang mengambang, bintang-bintang yang bergemelapan, awan-awan yang berarak ditiup angin, hujan yang turun, sungai yang mengalir, lautan yang terbentang luas, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan manusia. Semua ini adalah tanda kewujudanNya dan sifat-sifatNya yang Agung
SEJARAH
Pelajaran 1
Sejarah dalam Islam dikenali dengan Sirrah. Sirrah ertinya perjalanan iaitu perjalanan hidup atau kisah orang-orang yang terdahulu. Mempelajari sejarah ertinya kita mempelajari kisah hidup orang-orang yang terdahulu dari kita.
Tujuan mempelajari sejarah
Mempelajari sejarah bukan hanya sekadar untuk tahu tentang kisah kehidupan orang-orang yang terdahulu dari kita tetapi ia memiliki tujuan-tujuan yang sebagaimana berikut:-
1. Mengetahui tamadun mereka.
2. Mengenal yang baik dari mereka dan yang jahat dari mereka.
3. Mengambil pelajaran dari kehidupan mereka.
4. Mengatur hidup kita dan masa depan kita.
Orang yang mempelajari sejarah adalah orang yang memiliki pegalaman yang banyak, sebanyak pengetahuannya tentang sejarah orang-orang yang terdahulu.
Sejarah dalam Islam
Sejarah dalam Islam dibahagikan kepada dua bahagian:-
1. Sebelum Zaman Rasulullah
2. Zaman Rasullullah Dan Selepasnya
Sejarah sebelum zaman Rasulullah adalah sejarah tentang Nabi-Nabi dan umat-umat yang terdahulu. Sejarah zaman Rasulullah dibahagikan kepada pecahan berikut.
1. Zaman Arab Jahiliah.
2. Kehidupan Rasulullah sejak lahir hingga wafat.
3. Zaman para Imam.
4. Zaman selepas ghaib Imam Mahdi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan